Selasa, 8 Mac 2016

Ahmed Deedat Pengkaji Kitab Agama Dan Pendakwah Terulung Dunia Dan Juga Guru Kepada Dr Zakir Nain

TANGGUNGJAWAB berdakwah bukanlah satu perkara yang mudah. Sekiranya anda ingin berdakwah, anda perlu mempelajari Islam secara lebih mendalam. Ini kerana, mendalami segala aspek di dalam Islam adalah tunjang utama supaya masyarakat boleh memahami agama tersebut dengan lebih jitu.

Selain itu, kajian terhadap kitab agama lain juga amat penting untuk memastikan seseorang pendakwah memahami susul galur agama lain. Sekiranya terdapat persoalan yang dikemukakan individu yang bukan beragama Islam, pendakwah berkenaan mungkin boleh memberikan penerangan secara jelas mengenai Islam kepada mereka.

Ini yang dilakukan oleh pendakwah Islam bebas terkenal, Sheikh Ahmed Hussein Deedat atau lebih dikenali sebagai Ahmed Deedat. Beliau mengkaji setiap kitab agama lain seperti kitab Veda, Injil, Taurat dan lain-lain kitab dalam usaha memberikan penerangan kepada orang ramai mengenai Islam.

Selain itu, Ahmed Deedat juga berusaha menarik ramai orang di seluruh dunia untuk memeluk agama Islam. Kehidupan Awal Ahmed Deedat dilahirkan pada 1 Julai 1918 di Tadkeshwar, India di dalam sebuah keluarga yang serba daif.

Akibat kemiskinan yang dihadapi  keluarganya, bapanya, Hussein Kazim terpaksa meninggalkan isterinya, Fatma selepas beberapa bulan beliau dilahirkan untuk menyara kehidupan mereka. Hussein berhijrah ke Kwala-Zulu, Afrika Selatan untuk menjadi seorang tukang jahit.

Pada 1927, Ahmed ke Kwala-Zulu untuk bersama dengan bapanya. Namun, Ahmed diuji oleh ALLAH SWT apabila ibunya meninggal dunia selepas beberapa bulan penghijrahnya ke Afrika Selatan. Bagaimanapun, ia tidak mematahkan semangatnya untuk meneruskan hidup.

Pada tahun yang sama, beliau memohon untuk belajar di sebuah sekolah di Durban. Beliau terpaksa bermula dari bawah kerana lambat memasuki sekolah. Namun, gurunya mengatakan beliau seorang pelajar pintar kerana sering mendapat tempat pertama di dalam kelasnya.

Apa yang lebih mengagumkan, beliau berjaya menguasai bahasa Inggeris dalam tempoh yang singkat. Tetapi, pada usia 16 tahun, Ahmed terpaksa menamatkan pengajiannya akibat masalah kewangan dan beliau mula mencari pekerjaan. Tercabar dengan mubaligh

Pada 1936, Ahmed bekerja sebagai jurujual di sebuah kedai perabot di sebuah bangunan di mana, mubaligh Kristian melakukan aktiviti keagamaan mereka. Sepanjang tempoh itu, beliau kerap mendengar cercaan dan penghinaan beberapa mubaligh terhadap Islam.

Terkesan dengan situasi itu, Ahmed menanam cita-cita untuk mendalami Islam supaya beliau dapat memberikan penerangan sebenar kepada bukan Islam. Satu hari, semasa bekerja, Ahmed menemui sebuah buku bertajuk Izhar Ul-Haqq yang bermaksud ‘Kebenaran Terungkai’.

Buku ditulis oleh Rahmatullah Kairanawi itu menceritakan mengenai debat seorang pendakwah Islam dengan seorang paderi. Kandungan buku itu menguatkan lagi keazamannya untuk melakukan kerja-kerja dakwah. Mulakan usaha dakwah

Tidak lama kemudian, Ahmed menyertai kelas bimbingan Islam yang dianjurkan seorang mualaf, Fairfax. Selepas beberapa tahun, Fairfax menarik diri daripada mengajar kelas tersebut dan Ahmed dipertanggungjawabkan untuk mengajar murid di kelas berkenaan.

Dengan pengalaman yang diperoleh daripada kelas tersebut, Ahmed mula berdakwah secara terbuka kepada orang ramai. Pada 1942, beliau memberikan kuliah terbuka pertamanya di sebuah panggung di Durban yang disertai 15  individu.

Pada 1957, Ahmed bersama beberapa rakannya menubuhkan sebuah pertubuhan yang digelar sebagai Pusat Penyebaran Islam (IPC). Pertubuhan itu mencetak pelbagai buku mengenai Islam serta mengadakan kelas bagi mereka yang ingin memeluk Islam. Dicabar sertai debat

Di sebalik semua kerja dakwah beliau, terdapat beberapa tokoh agama lain yang tidak senang dengan kerja dakwah Ahmed, lalu mereka mencabar Ahmed untuk berdebat. Justeru, Ahmed bersetuju untuk menyahut cabaran mereka. Pada 1985, Ahmed berdebat dengan mubaligh Amerika, Prof Floyd E Clark di Britain.

Debat itu mendapat tumpuan masyarakat Britain apabila ramai yang hadir dalam debat tersebut. Walaupun diasak dengan pelbagai soalan dan provokasi, Ahmed berjaya menjawab kesemua soalan itu dengan tenang bersandarkan al-Quran serta kitab-kitab yang lain.

Sejak dari itu, Ahmed semakin dikenali di seluruh dunia dan dijemput ke pelbagai siri dakwah serta perdebatan agama di seluruh dunia. Atas kerja dakwah yang dilakukan olehnya, Raja Arab Saudi, Raja Faisal memberikan anugerah kepadanya sebagai menghargai pengorbanannya.

Pada 2005, Ahmed meninggal dunia di Kwala-Zulu akibat penyakit yang dihadapinya. Sehingga hari ini, segala karya yang ditulis Ahmed masih menjadi rujukan kepada ulama serta pendakwah di seluruh dunia.
loading...