Selasa, 19 April 2016

Video Anggota ‘Polis’ ‘Pau’ Budak Sekolah, Diburu.

PETALING JAYA: Sebuah video menunjukkan dua orang individu berpakaian seperti anggota polis mengambil duit daripada seorang remaja lelaki dipercayai pelajar sekolah viral di laman sosial.

Menerusi video berdurasi 2.46 minit yang dirakam oleh individu dipercayai orang awam, salah seorang lelaki yang kelihatan berpangkat lans koperal telah memeriksa dompet remaja berkenaan manakala seorang lagi lelaki duduk memerhati.

Lelaki terbabit telah memulangkan semula dompet tersebut dan meminta remaja itu mengeluarkan duit untuk diserahkan kepadanya.

Ketika remaja itu hendak mengeluarkan wang, lelaki terbabit telah menarik tangan remaja berkenaan dengan tujuan mahu berselindung daripada dilihat orang ketika remaja itu hendak menyerahkan duit yang dimintanya.

Setelah memberikan wang lelaki terbabit membenarkan remaja itu beredar.

Berdasarkan pemerhatian, remaja itu ditahan oleh lelaki terbabit untuk diperiksa ekoran dipercayai ponteng sekolah.

Tiada sebarang audio pada rakaman yang tersebar itu dan lokasi serta masa kejadian tidak diketahui.

Visual itu telah dikongsikan di Facebook Malaysia Viral Story dengan kapsyen “Budak sekolah pun nak paw, polis sekarang gaji tak cukup ke? Kerana nila setitik rosak susu sebelanga..Mohon PDRM ambil tindakan ke atas anggota tersebut”.

Sementara itu, dalam perkembangan terbaru, Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM), ACP Datin Asmawati Ahmad dalam satu kenyataan memberitahu pihaknya memandang serius insiden tersebut yang secara terang-terangan telah mencemar imej dan kredibiliti pasukan, dan mahu memastikan samada dua individu terbabit warga polis Malaysia atau bukan.

Dengan itu, polis memohon kerjasama daripada mangsa dan mana-mana pihak yang menyaksikan kejadian itu atau mempunyai maklumat untuk tampil bagi membantu pihaknya menjalankan siasatan.

“PDRM tidak mengamalkan `blue wall of silence’ (tidak akan membisu) dan tidak akan sesekali berkompromi dengan sebarang bentuk salah laku oleh mana-mana warganya.”
loading...