Khamis, 26 Mei 2016

Ketua Polis Negara, Diminta Berhenti Menggunakan Laman Twitter.-Tan Sri Rahim Noor

SHAH ALAM - Tindakan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar yang menggunakan laman Twitter untuk memberi arahan kepada pegawainya haruslah dihentikan.

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor berkata, tindakan itu dilihat sebagai tidak mendatangkan sebarang faedah kepada ‘anak-anak’ buah Khalid.

“Pada pandangan saya harus diberhentikan arahan-arahan sebegini (menggunakan Twitter), kalau benarlah. Jangan orang lain tahulah apa arahan kita pada orang-orang kita, kerana saya tidak nampak apa faedahnya.

“Ini kerana arahan-arahan ini soal dalaman, ia mesti berlegar dalam lingkungan dalaman sahaja. Malah apa-apa ulasan polis tentang sesuatu perkara kecil, sensitif, tidak sensitif, separuh sensitif ini urusan dalaman harus dalaman sahaja yang tahu tidak perlu keluar daripada sempadan itu,” katanya kepada Sinar Harian selepas selesai sesi Wacana Sinar Harian Siri ke-39, semalam.

Rahim berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Khalid yang mengeluarkan arahan melalui Twitter kepada pegawai dan anggota polis untuk melakukan siasatan ataupun tindakan.

Namun memetik laporan portal Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau tidak melihat sebarang salah laku dengan tindakan Khalid tersebut.

Sementara itu, Rahim juga secara peribadi berpendapat beliau akan meletakkan jawatan sebagai Ketua Polis Negara jika sesuatu siasatan kes besar tidak mengikut undang-undang.

“Ini bukan perkara kecil, ini soal prinsip.

“Kalau siasatan polis jelas menunjukkan bahawa ada kes untuk dibuat tuduhan dan keputusannya begitu, bagi saya ini soal prinsip, soal integriti,” katanya.-Sinar Harian
loading...