Selasa, 31 Mei 2016

Ridhuan Tee Keluar Dari MCA Kerana Enggan Tanggung Dosa Isu Hudud.

Penceramah bebas Ridhuan Tee Abdullah
Beliau ketika dihubungi mengesahkan perkara itu kepada Malaysiakini.

“Kerana perkembangan akhir-akhir ini (hudud). Saya tidak mahu menanggung dosa berada dalam parti sebegini,” katanya.

MCA antara parti komponen BN yang amat lantang dan konsisten menentang pelaksanaan hudud.

Parti itu malah mengugut keluar daripada kabinet Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Ini susulan langkah kerajaan mengusulkan supaya rang undang-undang persendirian bagi menambah bidang kuasa mahkamah syariah dipercepat minggu lalu.

Ridhuan memberitahu beliau memohon menjadi anggota MCA pada tahun 1995 atau 1996 tetapi hanya diluluskan pada tahun 2000.

Katanya, beliau ketika itu memohon menyertai MCA bagi membuktikan beliau bukan “masuk Melayu” dan kekal sebagai seorang Cina walaupun telah memeluk Islam.

'Siapa musuhi Islam, dia musuh saya'

Selain itu, Ridhuan menjelaskan hasratnya berdakwah daripada dalam.

“Dulu saya masuk MCA sebab saya nak tunjukkan saya bukan masuk Melayu, saya kekal Cina.

“Niat saya untuk berdakwah, menjadi jambatan (pada Islam), tetapi tidak pernah dihargai. Malah mereka melihatnya sebagai ancaman,” katanya lagi.

Beliau juga memberitahu Malaysiakini belum mempunyai rancangan untuk memohon menyertai mana-mana parti itu.

Sementara itu, Ismaweb pula melaporkan bekas anggota MCA seumur hidup itu menyifatkan parti itu terlalu perkauman dan “menjadi musuh Islam”.

“Siapa memusuhi Islam, dia adalah musuh saya juga,” beliau dipetik sebagai berkata dalam kenyataan kepada portal itu.

Sementara itu, seorang kakitangan ibu pejabat MCA di Kuala Lumpur ketika dihubungi Malaysiakini berkata mereka masih belum menerima surat peletakan Ridhuan setakat ini.-Malaysiakini
loading...