Isnin, 6 Jun 2016

Ibu Atau Isteri, Yang Mana Satu Jadi Keutamaan Suami Dalam Bab Nafkah?

Soalan: 1. Apakah hukum suami yg selalu mengabaikan nafkah anak isteri kerana mengutamakan keluarganya di kampung? – Suami bukanlah anak lelaki sulung atau anak lelaki tunggal.

2. Bolehkah keluarga di kampung terutama ibu dan ayah meminta duit (terlalu kerap) dari anak lelakinya padahal anak lelakinya juga perlu bertanggungjawab pada anak isteri? – Ayahnya masih bekerja tetap selalu mengalami masalah kewangan.

Syukran jazilan atas jawapan yang diberikan.

Jawapan 1: Dalam pemberian nafkah, seorang suami hendaklah mendahulukan isteri dan anak-anak dari orang lain (termasuk ibu-bapa). Urutan nafkah adalah seperti berikut;

a) Diri sendiri
b) Isteri
c) Anak
d) Bapa
e) Ibu
f) Cucu
g) Datuk
h) Saudara
i) Ahli-ahli keluarga berikutnya.

Urutan ini adalah berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w. yang menegaskan; “Mulailah dengan diri kamu, bersedekahlah kepada diri kamu. Jika ada lebihan, maka untuk isteri kamu. Jika ada lebihan, maka untuk ahli keluarga kamu. Jika ada lebihan lagi, maka untuk begini dan begini; yakni untuk orang di hadapan kamu, di kanan dan kiri kamu” (Riwayat Imam Muslim dan an-Nasai dari Jabir r.a.. al-Jami’ as-Saghier, hadis no. 46).

Berkata Imam an-Nawawi mengulas hadis ini; di antara kesimpulan dari hadis ini ialah; hendaklah pemberian nafkah dimulakan mengikut tertib yang tersebut (dalam hadis). (Syarah Soheh Muslim, juz 7, Kitab az-Zakah, bab al-Ibtida’ Fi an-Nafaqah Bin-Nafsi Tsumma Ahlihi Tsumma al-Qarabah).

Perlu disebut juga di sini bahawa nafkah untuk isteri wajib diberikan oleh suami sekalipun isteri kaya dan berada. Suami yang gagal memberi nafkah sewajarnya kepada isterinya -mengikut kemampuannya- ia dianggap berhutang dengan isterinya kecualilah jika isteri menggugurkan haknya dengan kerelaannya sendiri. Begitu juga, isteri boleh menuntut fasakh di atas kegagalan suaminya memberi nafkah.

Adapun nafkah kepada orang lain selain isteri, ia tidak wajib melainkan apabila memenuhi dua syarat;

a) Mereka adalah miskin, tidak memiliki harta dan tidak mempunyai sumber pendapatan. Jika mereka mempunyai harta atau memiliki sumber pendapatan sendiri, tidaklah wajib lagi ia menyara mereka. Namun digalakkan ia meneruskan pemberiannya kepada mereka untuk mengekal kasih sayang dan silaturrahim.

b) Ia mempunyai kemampuan untuk menanggung mereka; sama ada dengan hartanya atau dengan sumber pendapatannya. Kemampuan ini merangkumi kos saraan untuk diri sendiri dan isteri. Jika ada lebihan (setelah ditolak keperluan diri dan isteri), barulah ia wajib menyara ahli-ahli keluarga yang lain.

Merujuk kepada soalan di atas, tidak harus suami mengabaikan nafkah kepada isteri dan anak-anak dengan alasan ingin membantu ibu-bapa di kampung kerana menafkahi isteri dan anak-anak adalah wajib. Jika benar ibu-bapa memerlukan nafkah darinya, ia hendaklah menafkahi mereka tanpa mengabaikan isteri dan anak-anak. Itupun jika ia mampu menampung semua mereka. Jika tidak, hendaklah ia mendahulukan isteri dan anak-anak.

Si anak juga diwajibkan memberi nafkah kepada ibu bapa. Si anak perlu membelanjakan hartanya di saat ibu bapa memerlukannya.

Jawapan 2:

Syarat Wajib Nafkah Anak Kepada Ibu Bapa

1] Si anak adalah di kalangan orang senang dan melebihi keperluan hariannya bagi perbelanjaan terhadap diri sendiri dan isterinya sehari semalam. Sekiranya tidak mencukupi perbelanjaan keperluan dia dan isteri sehari semalam, maka ia tidak ditaklifkan lagi untuk memberikan nafkah kepada ibu bapa. Hal ini kerana orang yang fakir tidak diwajibkan memberikan nafkah kepada orang yang fakir sepertinya. Fakir di sini bermaksud memerlukan harta tersebut untuk keperluan diri.

2] Ibu bapa adalah di kalangan orang fakir. Fakir yang dimaksudkan di sini ialah tidak bekerja yang boleh memenuhi keperluannya sendiri, sama ada ia mampu bekerja atau tidak. Oleh itu si ibu bapa yang memiliki anak2 yang dah bekerja, sememannya si ibu bapa tidak perlu lagi bekerja. Orang yang bertanggungjawab memenuhi keperluan mereka ialah anak2.

3] Perbelanjaan ibu tidak mencukupi. Syarat ini bermaksud, nafkah ibu diwajibkan ke atas anak dalam dua keadaan:
Si ayah sudah tidak mampu memberikan nafkah kepada ibu.
Si ayah sudah meninggal dunia.
Ini bermakna, si anak tidak wajib memberikan nafkah kepada ibu juga dalam dua keadaan iaitu:
Si ayah mampu memberikan nafkah kepada ibu
Ibu kahwin lain.
Nafkah suami kepada isteri
Dalam hal nafkah, nafkah inilah yang ditekankan oleh syariat untuk dilaksanakan oleh suami. Nafkah jenis inilah yang berat yang perlu diberi perhatian oleh suami. Hal ini kerana ulama telah ijmak untuk mengatakan bahawa suami wajib memberikan nafkah kepada isteri.

Syarat Wajib Suami Memberi Nafkah Kepada Isteri

1] Isteri tidak menghalang suami untuk berseronok dengannya.

2] Isteri tinggal di rumah pilihan suami dan menetap di situ. Sekiranya isteri enggan tinggal di rumah pilihan suami, maka tiada kewajipan ke atas suami memberikan nafkah.

Kadar Nafkah Yang Perlu Diberikan Kepada Isteri

Nafkah kepada isteri adalah dikira, tetapi berbeza bilangan dan jenis, merujuk kepada kemampuan suami. Perbelanjaan terhadap isteri tidak dirujuk kepada kedudukannya sama ada kaya atau tidak. Tidak semestinya apabila isteri anak orang kaya, maka si suami pula perlu cukupkan keperluan isteri sebagai orang kaya. Konsep seperti adalah tidak benar dalam Islam.

Islam membahagikan kemampuan suami kepada tiga bahagian iaitu:
orang kaya
orang sederhana
orang fakir
Ketiga-tiga pembahagian ini merujuk kepada uruf masyarakat. Secara mudahnya, orang kaya perlu membelanjakan isterinya cara orang kaya, orang sederhana dengan cara sederhana, manakala orang fakir dengan cara fakir. Jangan apabila kaya, si isteri langsung tidak dibelikan apa2.Hanya memakai baju yang telah lusuh sahaja dengan alasan jimat. Si fakir pula jangan berbelanja isteri macam orang kaya, akhirnya akan merana diri kerana hutang sekeliling pinggang.

Selain itu, suami perlu memerhatikan hal berikut untuk dibelanjakan kepada isteri iaitu:
Rumah yang bersesuaian dengan isteri.
Peralatan kebersihan dan kecantikan rumah.
Bibik sekiranya sebelum berkahwin si isteri sudah ada bibik.

Wallahu a’lam. Halaqah.net  ohmymedia
loading...