Selasa, 28 Jun 2016

Kerajaan Rancang Hanya Doktor Wanita Saja Boleh Sambut Kelahiran Bayi.

Gambar Hiasan
Kerajaan mengakui mempunyai rancangan untuk mengkhususkan doktor wanita sahaja yang menyambut kelahiran bayi di hospital awam, kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya.

Walau bagaimanapun, rancangan berkenaan belum dapat dilaksanakan kerana kekurangan doktor wanita dalam bidang Perbidanan dan Sakit Puan (O&G), katanya kepada pemberita di Balik Pulau semalam.

"Dalam kerajaan memang terlebih doktor wanita tetapi tidak ramai doktor wanita ini yang berminat dalam Obstetrik dan Ginekologi.

"Maka kita perlu tunggu lagilah supaya lebih ramai lagi doktor yang akan dilatih dalam bidang tersebut," katanya yang dipetik Bernama selepas menyampaikan bantuan hamper dan duit raya kepada 50 pesakit di Hospital Balik Pulau.

Pada tahun 2013, Kementerian Kesihatan menerima petisyen untuk membenarkan hanya doktor dan jururawat wanita di bilik dan wad bersalin demi menjaga maruah dan aurat pesakit wanita, khususnya yang beragama Islam.

Petisyen itu menggesa kementerian untuk memberi insentif kepada wanita untuk mengkhusus dalam bidang obstetrik dan ginekologi, dan meningkatkan kesedaran di kalangan pegawai perubatan mengenai keperluan menjaga aurat semasa melahirkan anak.-malaysiakini
loading...