Ahad, 31 Julai 2016

1,500 Ahli UMNO Di Sabah Keluar Parti Mengikut Jejak Datuk Seri Shafie Apdal.

 Ahli UMNIO Mengisytiharkan Keluar Parti Dengan Disaksikan Shafie
Petaling Jaya –  Kira-kira 1,500 ahli Umno Sabah dilaporkan mengikut jejak bekas naib presiden parti itu, Datuk Seri Shafie Apdal keluar parti semalam.

Menurut laporan China Press, kumpulan ahli daripada cawangan-cawangan di bahagian Tenom itu mengisytiharkan keluar Umno dengan disaksikan Shafie.

Shafie berkata, tindakan ahli keluar parti beramai-ramai itu menunjukkan akar umbi Umno Sabah tidak berpuas hati dengan pucuk pimpinan parti pusat dan pemimpin negeri.

Bekas menteri kemajuan luar bandar dan wilayah itu yang menjangkakan lebih ramai ahli Umno keluar parti berkata, rakyat tidak akan “mati” tanpa Barisan Nasional (BN).

“Kalau tiada Umno, anda ingat kami akan mati? Kelantan sudah 20 tahun tiada Umno, rakyat Kelantan tetap hidup.

“Pakatan Harapan memerintah Selangor hampir 10 tahun, saya tidak pernah dengar orang Melayu atau Cina mati. Mungkin mereka yang nak kaya akan mati, kerana mereka mati akal,” katanya ketika berucap di majlis Irau Rakyat di Tenom, semalam.

Sehubungan itu, Ketua Umno Bahagian Semporna itu menyeru rakyat Sabah supaya berani menukar kepimpinan kerajaan negeri sedia ada.

“Jika rakyat bersatu padu, tiada apa yang tidak mungkin dalam politik. Rakyat negeri yang tentukan kerajaan negeri Sabah, kami akan jatuhkan BN Sabah, ini bukan perkara tidak mungkin,” katanya sambil menambah, negeri di bawah bayu itu kaya dengan hasil sumber semula jadi dan sektor pelancongan, tetapi rakyat masih hidup dalam kemiskinan.

Shafie mengumumkan keluar parti pada 4 Julai lalu, selepas digantung keahlian oleh Majlis Tertinggi Umno pada 24 Jun lalu.

Selain menggantung Shafie, Majlis Tertinggi Umno turut memecat Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ahli Majlis Tertinggi, Datuk Seri Mukhriz Mahathir kerana berkongsi pentas bersama pemimpin pembangkang serta menyerang kepimpinan parti.

Susulan itu, Naib Ketua Umno Bahagian Semporna, Datuk Dr Jaujan Sambakong turut mengumumkan keluar parti bersama tiga ketua sayap dan 300 ketua cawangan, pada 27 Jun lalu.

Bagaimanapun, Ketua Puteri Umno Bahagian Semporna, Zakiah Kalipunya menafikan beliau keluar parti, sebaliknya akan terus setia bersama Umno. – FMT The Kuala Lumpur Post
loading...