Jumaat, 22 Julai 2016

Menutup Aurat, Hak Wanita Yang Perlu Dihormati

DI Malaysia terdapat pelbagai pandangan berkaitan dengan isu wanita menutup aurat, bertudung ataupun juga dikenali sebagai berhijab. Ada yang mendakwa ia proses arabisasi tiada nas dari hukum syarak dan tidak diwajibkan. Sebahagian yang lain pula bertudung sekadar berfesyen tanpa menginsafi falsafah menutup aurat itu sendiri.

Namun pandangan-pandangan tersebut tidak menjejaskan golongan Muslimah arus perdana yang memegang kuat hakikat menutup kepala yang merupakan sebahagian daripada aurat wanita. Oleh hal demikian kita dapat melihat majoriti Muslimah di Malaysia bertudung menutup aurat mereka sehingga kadang-kadang menimbulkan kegusaran golongan yang tidak menutup aurat.

Dugaan menutup aurat lebih dirasai di luar negara. Pasti kita masih ingat peristiwa seorang wanita Islam di Jerman bernama Marwa AlSherbi, meninggal dunia akibat ditikam seorang lelaki di Dresden, Jerman kerana memakai tudung.

Marwa telah ditikam ketika sedang memberi kesaksian di mahkamah terhadap lelaki berkenaan. Kejadian tersebut telah menimbulkan kemarahan dan telah menarik perhatian orang ramai tentang kebebasan hak asasi manusia, khususnya kepada orang Islam bagi hak untuk mengamalkan ajaran Islam sepenuhnya.

Firman ALLAH yang bermaksud “Wahai orang-orang beriman masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhan dan janganlah kamu menurut langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagi mu.” -Al-Baqarah 208.

Demi menjunjung firman ALLAH SWT ini menjadi tanggungjawab ke atas setiap Muslim yang mukalaf untuk mengamalkan ajaran Islam secara menyeluruh meliputi setiap aspek dalam kehidupan.

Hak untuk menganuti dan mengamalkan agama ini tidak boleh disekat oleh mana-mana pihak atas apa-apa alasan sekalipun melainkan sekiranya ia berlawanan dengan undang-undang am seperti ketenteraman awam, kesihatan awam dan moraliti kerana Perkara 11(1) Perlembagaan menjamin kebebasan beragama di mana menurut Perlembagaan, setiap warganegara Malaysia berhak menganuti dan mengamalkan agamanya sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perkara 11(1) iaitu “Tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan tertakluk kepada fasal (4) mengembangkannya dan peruntukan ini hendaklah dibaca bersama-sama dengan Perkara 3(1) Perlembagaan yang menyatakan Islam adalah agama Persekutuan tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di Malaysia.

Oleh yang demikian bagi memastikan kehidupan yang harmoni dan aman di Malaysia, semua pihak perlu memahami hak masing-masing menurut Perlembagaan dan perlu memahami kedudukan agama Islam dan agama-agama lain dalam Perlembagaan agar tiada pihak yang dinafikan haknya.

Di Malaysia bukanlah fenomena baru, seorang Muslimah memakai tudung dan memakai pakaian yang menutup aurat. Namun malangnya sehingga kini masih wujud halangan kepada wanita Muslimah untuk mengamalkan tuntutan beragama ketika di tempat kerja. Masih kedapatan majikan yang dengan secara sedar meletakkan wanita Muslim dalam dilema antara mematuhi perintah Tuhan dengan peraturan yang dikenakan oleh majikan dalam berpakaian.

Sedangkan perintah pemakaian tudung kepada wanita Muslimah adalah satu perintah yang jelas sebagaimana diperintahkan oleh ALLAH dalam Surah An Nur : 31 yang bermaksud “Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman itu supaya menyekat pandang mereka dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka menzahirkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh badan mereka...”

Sesungguhnya tindakan sesetengah majikan yang menghalang pekerja wanita daripada berpakaian sebagaimana yang dikehendaki agama adalah bertentangan dengan hak mengamalkan agama yang dijamin oleh perlembagaan.

Dalam konteks yang lain perlu juga diinsafi bahawa menutup aurat bukan sekadar bertudung tetapi tidak memperlihatkan bentuk badan yang boleh menggiurkan. Bagi lelaki juga terdapat aurat perlu ditutup. Ramai lelaki tidak mengambil enteng tentang aurat mereka terutamanya dalam menampakkan bentuk badan. Kesedaran juga perlu diberikan dalam aspek menutup aurat lelaki ini.

Berbalik kepada isu menutup aurat ini, ia merupakan suatu hak yang perlu dihormati oleh semua kalangan. Jangan lagi ada usaha atau arahan menghalang seseorang mengamalkan agamanya. Jangan kita menjadi pelalau merencat hak beragama di Malaysia.

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia. Sinar Harian
loading...