Selasa, 27 September 2016

Polis Siasat Video Viral Seorang Wanita Dipukul Dan Dibogelkan.

Kota Bharu: Polis Kelantan akan membuat siasatan berhubung video viral membabitkan seorang wanita yang dipukul dan dibogelkan dipercayai berlaku di negara jiran.

Ketua Polis Kelantan Datuk Dr Ab Rahman Ismail berkata, dua laporan diterima termasuk daripada mangsa yang yang dibuat Sabtu lalu di Balai Polis Kubang Kerian.

Katanya, hasil laporan itu, polis membuat siasatan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang membawa hukuman penjara setahun dan denda maksimum RM50,000 atau kedua-duanya sekali.

"Kita percaya hasil siasatan akan dapat pengesahan berhubung kes viral berkenaan yang tersebar di laman sosial sejak kelmarin.

"Polis juga menerima laporan kedua hari ini dibuat seorang wanita dipercayai ada hubung kait dengan penyebaran rakaman itu," katanya dalam sidang media, hari ini.

Kelmarin, dua rakaman video masing-masing berdurasi 2 minit 8 saat dan 1 minit 15 saat tersebar di laman sosial Facebook dan mendapat komen daripada netizen.

Menerusi video berkenaan, mangsa dikenali sebagai Nora, 26, dipukul dengan menggunakan dua botol kaca minuman oleh seorang wanita warga Thailand dipercayai diupah oleh wanita dikenali sebagai Nadia yang membuat rakaman itu.

Difahamkan, kejadian itu berlaku akibat salah faham apabila mangsa dituduh menjalin hubungan cinta dengan suami Nadia.- Harian Metro
loading...