Ahad, 11 September 2016

Selebriti Media Ditangkap Khalwat Dilaporkan Positif Dadah.

KUALA LUMPUR — Seorang selebriti media sosial yang ditangkap khalwat bersama seorang ahli perniagaan pada Selasa lalu dilaporkan turut terlibat dalam penyalahgunaan dadah.

Menurut Utusan Malaysia, wanita berusia 20-an yang ditahan berhubung siasatan yang dipercayai berkaitan pelacuran kelas atasan itu dilaporkan positif ganja dan syabu hasil ujian air kencing yang dijalankan.

“Kedua-dua mereka kini dalam tahanan reman berkaitan kes penyalahgunaan dadah di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam selama empat hari sejak Selasa lalu.

“Mereka akan dibebaskan dengan jaminan sehingga diputuskan untuk dituduh di mahkamah,” kata sumber kepada akhbar itu.

ProjekMMO masih belum dapat mengesahkan fakta tersebut dengan polis Shah Alam.

Lelaki yang ditahan itu juga dilaporkan positif morfin dan syabu namun tiada dadah yang ditemukan ketika ditahan.

Utusan Online melaporkan minggu ini bahawa suspek wanita itu didakwa mengenakan bayaran sehingga RM30,000 semalam daripada pelanggannya, termasuk golongan elit kenamaan (VVIP).

Wanita itu, yang dikatakan mempunyai syarikat perniagaan di Lembah Klang, didakwa mempunyai hubungan rapat dengan kerabat diraja.

Ditahan di sebuah hotel mewah di Damansara dekat sini awal minggu ini, wanita itu yang mula terlibat dalam kegiatan pelacuran sejak tahun lalu dan pelanggannya disiasat bawah Enakmen Jenayah Syariah.

ProjekMMO dimaklumkan Jawi tidak menyiasat kes tersebut, sementara Jais belum memberikan kenyataan setakat ini. – MalayMail
loading...