Isnin, 5 September 2016

Zila Mahu Lawan Kes Nusyuz, “Jangan Cabar, Nanti Banyak Aib Terbuka” – Along Cham

Kuala Lumpur – Penyanyi  Zila Seeron kini berkeras mahu melawan kes nusyuz yang difailkan oleh bekas suami, Along Cham terhadap dirinya.

Bagi Along pula, tindakan Zila itu bagai menguji kesabarannya yang selama ini memilih untuk mendiamkan diri kerana menjaga maruah bekas isterinya.

Menurut Along, dia tidak mahu memanjangkan lagi kisah perceraian mereka kerana ia akan membuka lebih banyak cerita yang mengaibkan pihak bekas isterinya.

“Saya tidak mahu mengulas lebih panjang mengenai isu ini kerana mahu menjaga aibnya. Tetapi dia pula yang berkeras untuk melawan kes nusyuz kerana mahu pertahankan dirinya.

“Dia (bekas isteri) seperti mencabar saya pula. Jangan dicabar, nanti lebih banyak aib yang terbuka.

“Saya rasa ditipu dan masih terluka dengan apa yang dia lakukan. Sebelum ini juga dia tidak pernah memohon maaf atas kesilapannya.

“Lepas saya lafazkan talak, tiada langsung perkataan maaf dari mulutnya. Jadi bagaimana untuk saya memaafkan dia?” katanya kepada BH Online.

Sebelum ini Along telah melafazkan talak satu di hadapan Hakim Syarie Abd Halim Abu Saman selepas mahkamah membenarkan permohonan cerai difailkan Along selepas Zila dilaporkan ditangkap khalwat bersama seorang lelaki berstatus suami orang.
loading...