Khamis, 29 September 2016

Zila Seeron Dan Pasangannya Mengaku Khalwat.

Kuala Lumpur: Peserta Akademi Fantasia (AF) musim keempat, Zila Seeron dan seorang pengurus syarikat masing-masing didenda RM2,500 oleh Mahkamah Tinggi Syariah hari ini selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan berkhalwat, Ogos lalu.

Hakim Syarie Azzeman Omar menjatuhkan hukuman itu terhadap Zila atau nama sebenarnya Nur Azilah Seeron, 28, dan Mohd Khairul Azizi Burhanudin, 32, yang membuat pengakuan itu sebaik saja pertuduhan dibacakan kepada mereka secara berasingan.

Kedua-dua tertuduh turut berdepan hukuman penjara lima bulan sekiranya gagal membayar denda itu.

Mengikut pertuduhan, Zila dan Mohd Khairul Azizi yang juga bapa kepada seorang anak itu didakwa melakukan kesalahan itu di rumah lelaki berkenaan di Apartment Jalil Damai, Bandar Bukit Jalil, dekat sini antara jam 6.55 pagi hingga 7.13 pagi, 13 Ogos lalu.

Dakwaan terhadap kedua-dua tertuduh dikemukakan masing-masing mengikut Seksyen 27 (a) dan (b) Akta Kesalahan-Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Syarie Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Mohd Hafiz Abd Hamid manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Pada 29 Ogos lalu, Zila telah sah bercerai talak satu dengan pelakon dan pelawak, Along Charm atau nama sebenarnya Muhammad Nizamudin Ahmad, 33, di Mahkamah Rendah Syariah Subang Bestari, Petaling Jaya.

Lafaz cerai kali pertama itu dibuat Along atau nama sebenarnya, Muhammad Nizamudin Ahmad di hadapan Hakim Syarie Abd Halim Abu Samah pada jam 10.40 pagi. Pasangan itu dikurniakan anak lelaki iaitu Ahmad Danial Muhammad Nizamudin yang berusia lima tahun.-Harian Metro
loading...