Selasa, 25 Oktober 2016

7 Herba Untuk Wanita Berpantang Selepas Bersalin.

Wanita yang baru saja melahirkan anak biasanya diminta mengambil makanan panas berasaskan herba kerana mempunyai banyak kebaikan terutama dari segi menguatkan kembali peranakan, membuang angin dan mengembalikan kelancaran darah.

Antara herba yang bagus ketika berpantang ialah bawang putih, halia, lada hitam, halba, manjakani dan serai.

Halia

Halia bukan saja menghilangkan angin dalam badan tetapi terbukti mampu menyembuhkan luka. Masukkan halia dalam makanan berpantang atau direbus dan diminum airnya. Air halia sangat baik membuang angin serta membantu memanaskan badan.

Lada hitam

Terdapat dua jenis lada iaitu lada putih dan lada hitam. Kedua-duanya mempunyai khasiat yang sama. Lada bagus untuk memanaskan badan dan menyegarkan tubuh. Ia juga mampu menyembuhkan demam (dengan kuantiti sesuai), pening kepala, loya, cirit-birit dan melawaskan kencing.

Untuk bayi, lada hitam boleh mengelak kembung perut bayi. Caranya mudah saja, goreng atau bakar lada hitam, kemudian balutkan dalam kain yang bersih, kemudian tuam perlahan-lahan pada perut dan badan bayi.

Manjakani

Manjakani digunakan untuk merawat luka dalaman dan luaran selepas bersalin dan penawar masalah keputihan. Bahan tannin di dalam manjakani membantu membaiki tisu rosak selepas bersalin. Manjakani juga membantu mengurangkan lelehan mukus, menstabilkan hormon, melancarkan darah, melawaskan buang air besar dan memberi tenaga badan. Tumbuhan ini juga membantu menguatkan faraj wanita.

Asam jawa

Asam jawa bukan setakat menambah kemasaman dalam masakan tetapi membantu menurunkan berat badan. Amalan mengambil jus asam jawa setiap hari mampu menurunkan berat badan ibu dalam pantang.

Cuba dalam kuantiti sedikit dulu. Kemudian tingkat­kan mengikut kesesuaian badan. Selain itu sapu asam jawa setiap pagi pada kulit wajah bagi menjadikan kulit lebih berseri dan bermaya.

Bawang putih

Bawang putih ialah antibiotik semula jadi, penyembuh luka, menghalang penyakit sengal dan saraf, mengeluarkan angin dalam badan. Bawang putih membantu mengurangkan tekanan dan kemurungan. Seeloknya bawang putih dimakan dengan cara membakar atau menggorengnya terlebih dulu dan dimakan bersama nasi panas.

Halba

Ibu yang mengalami masalah susu boleh mengambil air rebusan halba setiap hari. Ia juga berfungsi memanaskan badan. Selain dimasukkan dalam kari bagi menaikkan bau masakan, halba juga boleh dimakan begitu saja atau diminum air rebusannya.
loading...