Sabtu, 8 Oktober 2016

Bapa Binatang!!! Kurung Anak Perempuan Dijadikan Hamba Seks Selama 24 Tahun.

Kisah Joseph Fritzl, 73, yang mengurung anak perempuannya untuk dijadikan hamba seks selama 24 tahun hingga melahirkan tujuh orang anak adalah jenayah paling kejam dalam sejarah Austrvia.

MINGGU ini, para juri di Austria menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup ke atas seorang lelaki, Joseph Fritzl, 73, dan mengarahkannya ditahan di sebuah hospital sakit jiwa.

Fritzl didapati bersalah atas semua tuduhan yang dikenakan - membunuh, merogol, melakukan penghambaan serta sumbang mahram.

Gambar-gambar lelaki ini membayangkan dia seorang yang sangat dihormati di sebuah pekan kecil di Austria, Amstetten. Di sana dia tinggal bersama seorang isteri dan tujuh orang anak.

Bagaimanapun, Fritzl mempunyai satu lagi keluarga rahsia iaitu dengan salah seorang anak perempuannya, Elisabeth, yang kini berusia 42 tahun.

Wanita itu disembunyikan di dalam sebuah kurungan yang terletak di bawah rumah keluarga mereka sejak tahun 1984. Di situ Elisabeth dirogol berulang kali sehingga melahirkan tujuh orang anak.

Selepas empat tahun dikurung, anak perempuannya itu melahirkan anak pertama tanpa sebarang bantuan perubatan atau peralatan yang disteril.

Tiga daripada anak itu telah dijadikan anak angkat oleh Fritzl dan isterinya. Tiga lagi yang berumur antara lima dan 19 tahun, terus tinggal bersama ibu mereka di tiga buah bilik kurungan bawah tanah seluas 60 meter persegi (650 kaki persegi), tanpa tingkap dan kalis bunyi.

Semasa 'kehilangan' anaknya pada 24 tahun lalu, Fritzl memberitahu pihak berkuasa bahawa Elisabeth telah melarikan diri. Namun Fritzl pernah dipenjarakan selama setahun atas tuduhan merogol Elisabeth pada tahun 1967.

Berdasarkan siasatan, Fritzl didapati mampu membekalkan keluarga rahsianya dengan pakaian dan makanan tanpa menimbulkan rasa syak dengan membeli-belah di luar Amstetten.

Polis mengatakan bahawa beliau mudah bergerak ke luar Amstetten tanpa disyaki kerana mempunyai sebidang tanah di luar bandar itu.

Dia juga sangat berhati-hati dengan tidak membenarkan sesiapa mendekati bilik kurungan tersebut.

Pihak polis menggambarkan Fritzl, seorang jurutera elektrik, sebagai 'sangat pintar' apabila memasang kunci-kunci elektrik di bilik kurungan itu dan hanya boleh dibuka dengan kod yang khusus.

Dia mengunci pintu gelongsor konkrit ke bilik kurungan itu dengan alat kawalan jauh dan menyembunyikannya di belakang rak.

Fritzl turut dituduh melayan Elisabeth seperti seorang hamba dengan mengurung dan memaksanya melakukan hubungan seks. Dirantai

Elisabeth memberitahu polis bahawa dia telah dirantai dan dirogol, namun Fritzl tetap mempertahankan bahawa hubungan seks antara mereka itu adalah atas kerelaan kedua-dua pihak.

Pada tahun 1996, Elisabeth melahirkan anak kembar. Salah seorang bayi itu mengalami komplikasi pernafasan dan tubuhnya bertukar menjadi biru.

Fritzl bukan sahaja tidak mendapatkan bantuan malah sekadar berkata, 'apa-apa yang terjadi adalah takdir'.

Bayi itu meninggal dunia beberapa hari kemudian. Mayat bayi itu telah dibakar oleh Fritzl di dalam insinerator sebelum menaburkan abunya di sekitar halaman rumahnya.

Kerana perbuatan tersebut, Fritzl dituduh membunuh 'anaknya' secara sengaja kerana tidak mendapatkan bantuan perubatan walaupun menyedari bahawa bayi tersebut berada dalam keadaan kritikal.

Rahsia mengenai 'keluarga kedua' Fritzl itu terbongkar apabila anak sulung hasil hubungan haram itu jatuh sakit pada April 2008.

Setelah puas dipujuk, Fritzl bersetuju membawa anak itu ke hospital. Kanak-kanak perempuan itu kekurangan oksigen dan mengalami komplikasi buah pinggang.

Walaupun dia kembali pulih, pihak hospital merasakan ada sesuatu yang mencurigakan khususnya mengenai identiti kanak-kanak itu. Sejak itu, pihak berkuasa melakukan siasatan hingga membawa kepada pembongkaran kegiatan Fritzl.

Jiran tetangga terkejut dengan kes tersebut kerana Fritzl dilihat sebagai seorang yang baik dan rajin. Fritzl juga dikatakan merupakan seorang datuk yang penyayang terhadap cucunya.

Isterinya sendiri tidak mengetahui perilaku jijik suaminya dan sangat terkejut dengan berita tersebut.

Anak-anak sebenar Fritzl memberitahu, bapa mereka itu seorang yang autoritarian dan terlampau tegas. Dia juga begitu mengongkong ibu mereka.

Sebuah majalah Austria, NEWS, memetik kata-kata peguam Fritzl, Meyer, bahawa Fritzl sedar dengan apa yang dilakukan selama 24 tahun itu adalah salah tetapi beliau 'gila' untuk melakukan perbuatan itu. Dia mengaku ketagihan!.-Kosmo
loading...