Jumaat, 14 Oktober 2016

Saya Tidak Pernah Pinjam Hutang Dengan Ah Long.

Empat lelaki bersenjatakan parang dan tukul menyimbah cat ke sebuah rumah di Jalan Sepah Puteri 5/14, Seri Utama, Kota Damansara, semalam, sebelum melarikan diri menggunakan kereta.

Dalam kejadian 2.30 petang itu, suspek juga mengugut pengawal keselamatan menggunakan parang supaya membuka palang ketika mahu keluar dari kawasan perumahan berkenaan.

Difahamkan, pemilik rumah menyaksikan rumahnya dibaling botol kaca berisi cat merah selain suspek turut menyepahkan kawasan rumah mangsa.

Sumber polis berkata, suspek dipercayai ‘ah long’ dan datang ke rumah berkenaan untuk mengutip hutang.

“Bagaimanapun, berdasarkan soal siasat terhadap mangsa, wanita itu mendakwa tidak membuat sebarang pinjaman dengan ‘ah long’.

“Polis sudah mendapat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian dan mengenal pasti nombor pendaftaran kenderaan yang digunakan suspek,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Mohd Ali Thamby mengesahkan kejadian dan berkata polis sedang mengesan suspek.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah. – Harian Metro
loading...