Sabtu, 29 Oktober 2016

Wanita Semakin Berusia Semakin Berisiko Mengidap Kanser Serviks.

Selain kanser payudara yang paling digeruni golongan wanita ialah kanser servik atau pangkal rahim tidak terkecuali antara ‘mimpi ngeri’ yang paling ditakuti kaum Hawa. Semakin meningkat usia seseorang wanita, semakin tinggi risiko diserang kanser servik.

Di seluruh dunia, seorang wanita meninggal dunia akibat kanser servik dalam setiap dua minit.

Perunding Ginekologi dan Prof Klinikal Tambahan, Dr Suresh Kumarasamy berkata, kanser servik adalah penyakit yang meninggalkan ketakutan kepada wanita di seluruh dunia.

“Punca kanser servik masih tidak diketahui hingga kini. Kanser servik tidak meninggalkan sebarang gejala atau rasa sakit pada permulaannya.

“Kanser ini disebabkan pelbagai faktor, antaranya jangkitan kuman papillomavirus (HPV) iaitu penyakit kelamin, kurang menjaga kebersihan alat sulit, mempunyai ramai pasangan seks, memulakan hubungan seks pada usia muda, merokok dan beberapa sebab lain,” katanya ketika ditemui dalam majlis pelancaran Avastin (bevacizumab) sebagai terapi bersasar bagi kanser servik yang berterusan, berulang atau metastatik.

Kanser servik adalah keempat paling kerap berlaku ke atas wanita di seluruh dunia dan ketiga paling kerap berlaku dalam kalangan wanita di Malaysia dengan purata hampir 1,000 kes dikenal pasti setiap tahun.

Ketika ini wanita berdepan risiko yang bertambah selepas mereka mencecah usia 30 tahun serta paling kerap dikesan sekitar usia 65 hingga 69 tahun. Kebanyakan kes kanser servik berlaku dalam kalangan wanita berusia 45 tahun ke atas iaitu 65.6 peratus dengan kadar median masa hidup 65.8 bulan dan kadar hidup lima tahun sebanyak 71.1 peratus.

Namun wanita berusia 45 tahun ke bawah mempunyai kadar hayat yang lebih baik.

Prof Perbidanan dan Sakit Puan, Universiti of California Irvine Amerika Syarikat, Prof Dr Krishnansu S Tewari berkata, kajian yang dijalankan oleh Kumpulan Onkologi Ginekologi (GOG), wanita yang menerima Avastin bersama kemoterapi mempunyai kadar jangka hayat keseluruhan yang meningkat sebanyak 24 peratus dan hidup pada kadar median 3.5 bulan lebih lama berbanding mereka yang melakukan kemoterapi sahaja.

“Median kelangsungan hidup keseluruhan adalah 16.8 bulan dengan Avastin dan kemoterapi berbanding 13.3 bulan untuk rawatan kemoterapi sahaja.

“Wanita yang menerima Avastin dan kemoterapi mengalami pengurangan risiko perkembangan penyakit itu atau kematian sebanyak 32 peratus berbanding apabila menggunakan kemoterapi sahaja.

“Kajian itu turut menunjukkan bahawa wanita yang menerima Avastin bersama kemoterapi mempunyai kadar pengecutan ketumbuhan yang lebih tinggi (48) peratus berbanding mereka yang menerima rawatan kemoterapi saja (36 peratus).

“Pesakit yang tidak menerima tindak balas yang baik daripada kemoterapi dalam peringkat yang serius mungkin berpeluang menunjukkan hasil yang lebih baik menerusi rawatan ini,” katanya.
Menurut Persatuan Kanser Kebangsaan (NCSM), lebih 11,000 wanita disahkan menghidap kanser serviks atau pangkal rahim setiap tahun, terutama dalam kalangan wanita muda berusia lewat 30-an.

Situasi ini sungguh membimbangkan kerana setiap tahun, lebih 5,000 penghidap kanser serviks meninggal dunia berpunca daripada kelewatan mengesan sel kanser yang merebak ke peringkat akhir.

Kanser servik boleh dicegah jika seseorang wanita itu menjalani kehidupan sihat dan tidak terjebak dengan aktiviti sosial, misalnya minum arak, merokok, memulakan aktiviti seksual pada usia terlalu muda, bertukar-tukar pasangan dan kurang mengambil berat penjagaan kebersihan alat sulit.

Dua jenis utama barah pangkal rahim:

Squamous cell carcinoma
  • Barah pangkal rahim yang sering berlaku. Ia bermula dari dalam sel skuamus atau kulit seperti sel di pangkal rahim.
Adenocarcinoma
  • Jenis barah pangkal rahim yang jarang berlaku. Ia bermula dari dalam sel glandular. Selain itu, barah pangkal rahim boleh dibahagikan kepada microinvasive atau invasive.
Tanda dan gejala
  • Pendarahan ketika melakukan hubungan seks
  • Pendarahan pada pertengahan bulan
  • Pendarahan selepas menopaus
  • Keluar lendir berdarah yang busuk daripada faraj
  • Sakit ketika melakukan hubungan seks
Wanita yang berisiko
  • Mempunyai lebih daripada seorang pasangan
  • Mula aktif hubungan seks sebelum usia 18 tahun
  • Mengalami jangkitan kuman seperti sifilis, gonorea, chlamydia atau HIV
  • Kurang daya tahan imun
  • Merokok
Golongan berisiko
  • Wanita yang pernah dijangkiti jenis HPV dan badan tidak mampu membersihkan virus berkenaan
  • Berusia antara 35 hingga 55 tahun.
Lebih separuh wanita yang didiagnosis menghidap penyakit ini
  • Kebanyakan mereka terdedah kepada penyebab kanser HPV ketika masih remaja dan pada usia 20-an
  • Lebih ramai wanita yang dijangkiti tidak pernah membuat ujian pap smear
Kepentingan ujian pap smear
  • Kanser serviks sering terjadi dalam kalangan wanita di seluruh dunia. Ia boleh dicegah jika dikesan pada peringkat awal.
  • Ujian pap smear adalah kaedah mudah mengesan perubahan sel bahagian rahim
Siapa memerlukan rawatan ini?
  • Semua wanita berumur antara 20 hingga 65 tahun
  • Wanita yang aktif atau pernah aktif dalam aktiviti seksual
  • Wanita yang putus haid atau menopaus
Berapa kerap ujian ini dilakukan?
  • Ujian ini hendaklah dilakukan tiga tahun sekali
Bila masa terbaik untuk menjalani ujian ini?
  • Ketika pertengahan pusingan haid atau 10 hari selepas kedatangan haid
  • Bukan ketika datang haid
loading...