Jumaat, 18 November 2016

Meraung Ketakutan Minta Dilepaskan.

Klang – Panik selepas dicekup pihak berkuasa, dua wanita warga asing yang disyaki menjalankan kegiatan persundalan di sebuah hotel di Jalan Batu Tiga Lama, di sini, meraung dan menangis teresak-esak merayu supaya mereka dilepaskan, malam kelmarin.

Raungan kedua-dua wanita warga China berusia lingkungan 20-an itu semakin kuat apabila tangan mereka digari dan terpaksa ditenangkan anggota polis yang kemudian menjalankan siasatan lanjut.

Perkara itu dikesan sepasukan 14 pegawai dan anggota Bahagian Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara yang diketuai Inspektor Mohd Anuar Ibrahim yang menyerbu premis itu pada jam 7.45 malam.

Dalam Ops Noda dengan kerjasama Majlis Perbandaran Klang (MPK) itu, sembilan wanita asing dipercayai pelayan pelanggan (GRO) dan tukang urut berusia 28 hingga 35 tahun ditahan untuk tindakan lanjut.

Ketika serbuan, ada daripada mereka enggan membuka pintu bilik walaupun beberapa kali diketuk dan menyebabkan ia terpaksa dipecahkan untuk pemeriksaan lanjut.

Difahamkan, premis spa yang berada di hotel itu menempatkan lokasi urutan di tingkat bawah manakala sesi ‘ekstra’ di tingkat atas dengan bayaran ratusan ringgit.

Ketua Polis Daerah Klang Utara Asisten Komisioner Mohd Yusoff Mamat berkata, operasi lebih sejam itu dijalankan pihaknya selepas menerima aduan dan maklumat awam mengenai aktiviti tidak bermoral di premis berkenaan.

“Perkara itu terbukti dengan penahanan sembilan wanita masing-masing tujuh warga China, dan masing-masing seorang warga Vietnam serta Myanmar. Selain itu, seorang lelaki berusia 25 tahun iaitu penjaga spa berkenaan ditahan bagi membantu siasatan.

“Kita turut merampas resit, tuala, tisu, kondom dan pelincir yang ditemui di premis itu. Semua suspek dibawa ke IPD Klang Utara untuk tindakan lanjut,” katanya yang turut menyertai operasi itu.

Menurut beliau, selain Seksyen 372B Kanun Keseksaan kerana mencari langganan untuk persundalan, kes itu diklasifikasikan mengikut beberapa kesalahan Imigresen. – Harian Metro
loading...