Ahad, 11 Disember 2016

Jin Untuk Dijual, Walaupun Tahu Pekara Ini Syirik, Tetap Dapat Sambutan.

Dek kerana mendapat permintaan tinggi dan mempunyai pembeli tegar, segelintir pengamal ilmu hitam menjadikan jin sebagai bahan dagangan untuk mendapatkan keuntungan mudah biarpun perbuatan itu dilarang agama.

Dengan harga antara RM500 hingga RM1,000 setiap satu, jin jualan pengamal ilmu hitam itu akan menjalankan tugas 'tuan barunya' termasuk memberikan rasa hormat, pelaris perniagaan, menimbulkan gerun dan penunduk bergantung kepada hasrat pemilik.

Mahu diri diberi perhatian, murah rezeki serta ditakuti adalah antara punca golongan tertentu mendapatkan khidmat jin untuk membantu mereka mencapai apa yang dihajati itu.

Antara golongan paling gemar menggunakan khidmat makhluk dari alam lain itu ialah orang politik, ahli perniagaan, selebriti dan mereka yang ingin mendapatkan kedudukan lebih baik daripada dimiliki sebelum ini.

Perkara ini didedahkan pengamal perubatan Islam, Tuan Asmawi Tuan Umar yang mengesahkan pembelian atau istilah 'memakai jin' terus menjadi alternatif kepada kelompok masyarakat bagi mendapatkan apa yang ingin di hajati.

Paling mengejutkan, ada di antara mereka yang sanggup menghabiskan ratusan ribu ringgit semata-mata mahu memiliki belasan jin untuk mendapatkan taraf hidup tinggi, meraih penghormatan masyarakat dan memuaskan nafsu sendiri.

"Dengan harga yang tidak terlalu tinggi, ada individu mendapatkan khidmat pengamal ilmu hitam untuk menjadikan jin sebagai pembantu mereka.

"Jika jin yang dibeli itu memberi perkhidmatan memuaskan, pemiliknya mungkin sanggup menaikkan tarafnya mengikut keperluan.

"Walaupun ia isu yang sudah dibincang sejak sekian lama, ia masih menjadi trend sehingga hari ini. Biarpun dalam dunia moden, mereka tetap percaya ada kuasa lain yang boleh memberi bantuan selain Allah SWT," katanya.

Tuan Asmawi berkata, golongan paling gemar menggunakan khidmat jin ialah ahli perniagaan yang tamak untuk melariskan bisnes, mendapatkan kontrak dan memujuk pelanggan untuk membeli atau memberikan kontrak.

Katanya, jin yang dibeli pada harga tertentu akan berperanan sebagai makhluk halus yang memperdaya individu berkaitan supaya memilih tawaran daripada tuannya.

"Jin ini akan akur apa saja arahan tuannya mengikut perjanjian dan dia sangat setia. Sebab itu ada orang yang susah hendak buang kerana jin ini taat.

"Kekuatan jin ini bergantung kepada berapa harganya kerana dia akan dipuja menggunakan barangan eksotik seperti pasu, tembikar dan objek yang mempunyai nilai sejarah seperti keris dan syiling lama.

"Kalau (harganya) murah, ia untuk tugasan mudah seperti menghasut dan melekakan orang.

"Bagaimanapun, bagi yang berharga belasan ribu ringgit boleh memecahbelahkan rumah tangga orang dan sebagainya. Sebab itu permintaan untuk mendapatkan jin ini sangat tinggi," katanya.

Memberikan contoh orang politik, Tuan Asmawi berkata, ada di antara mereka yang menggunakan khidmat jin untuk mendapatkan pengaruh, dilihat berwibawa dan menonjol serta nampak sempurna di mata pengundi.

Katanya, ada yang sanggup mendapatkan jin dari negara jiran seperti Indonesia dan Thailand kerana dikatakan lebih berkuasa serta kuat, tidak mampu ditandingi jin yang dibekalkan bomoh tempatan menjadikan ia lebih diyakini.

"Mereka sanggup membayar berapa saja harganya untuk mendapatkan apa yang di mahukan, tetapi mereka lupa bahawa azab Allah itu perit bagi sesiapa yang mengekutukan Allah.

"Buktinya, ramai yamg berjumpa saya meminta bantuan untuk membuang jin atau apa saja peralatan sihir seperti tangkal dan bungkusan kerana sudah tidak tahan.

"Ada yang datang berubat sudah bertahun-tahun disebabkan jin itu terlalu kuat. Tetapi, jika diizinkan Allah, mereka akan bebas daripada belenggu ilmu hitam dengan syarat bertaubat sungguh-sungguh kepada Allah," katanya.-Harian Metro
loading...