Rabu, 11 Januari 2017

Jika Ibu Bapa Malas, Anak Mungkin Jadi Pemalas.

UMUM tahu bayi dan kanak-kanak yang sedang membesar sentiasa memerhati dan mengekori percakapan, perilaku dan langkah ibu, bapa atau penjaga mereka.

Terkini, ibu bapa atau penjaga juga dikatakan memainkan peranan penting dalam membentuk kehidupan sihat anak-anak mereka.

Menurut laporan Dailymail, kajian terbaru pakar membuktikan rutin senaman ibu bapa mempengaruhi anak-anak.

Dalam sebuah bancian melibatkan 1,000 keluarga di Amerika Syarikat (AS), anak-anak yang masih kecil didapati lebih aktif dan gemar bersenam dalam sebuah keluarga yang aktif.

Bancian tersebut dibuat selepas kadar obesiti di negara berkenaan meningkat dalam peratusan tinggi dan semakin meruncing.

"Meningkatkan aktiviti fizikal bukan sahaja bagus untuk ibu bapa atau penjaga, malah ia akan mampu menentukan peribadi anak-anak mereka yang masih membesar," kata ketua penyelidik dan Pengarah Kajian Pediatrik dan Obesiti di hospital Monroe Carell, Dr. Shari Barkin.

Kata Dr. Shari, pendedahan mengenai aktiviti fizikal pada usia yang sangat muda mampu memberi impak besar kepada kesihatan anak-anak ketika dewasa nanti.

Ketika ini, garis panduan nasional menggalakkan kanak-kanak melakukan aktiviti fizikal ringan, sederhana atau berat selama tiga jam setiap hari.

Tetapi laporan menunjukkan hasil sebaliknya, iaitu hanya separuh dari jumlah kanak-kanak di AS terlibat dalam aktiviti fizikal dan senam.

Golongan berpendapatan rendah dikenal pasti sebagai golongan paling banyak menghidap obesiti.

Sekurang-kurangnya 75 peratus daripada jumlah tersebut berbangsa Amerika Latin dan 10 peratus adalah Amerika-Afrika.

Dari bancian yang dijalankan, 60 peratus kanak-kanak mempunyai berat badan normal manakala 30 peratus dikategorikan sebagai gemuk dan selebihnya dianggap mengalami obesiti.

Lebih separuh jumlah ibu bapa yang terlibat pula dikategorikan sebagai gemuk atau obesiti.

Pakar mengatakan kelakuan ibu bapa yang tidak aktif menyebabkan anak mereka bertambah malas setiap 0.10 minit.

Ibu bapa yang aktif pula akan menyebabkan anak mereka semakin gemar melakukan aktiviti lasak setiap 0.06 minit.

"Kami sedang mengerakkan kempen 3 tahun untuk menurunkan kadar obesiti dikalangan kanak-kanak iaitu ujian Growing Ringht Onto Wellnes (GROW) dan terbukti cara hidup ibu bapa mempengaruhi kesihatan kanak-kanak.

"Dari kajian ini juga kami berjaya menganalisis bagaimana ibu bapa dan anak mereka boleh menggunakan hubungan kekeluargaan dan persekitaran sosial yang elok untuk mewujudkan dan mengekalkan kehidupan yang sihat," jelas Dr. Shari.-Sinar Harian
loading...