Isnin, 16 Januari 2017

Pasangan Bukan Mahram Naik Motor Ditahan Jabatan Agama

KUALA TERENGGANU – Rata-rata daripada 26 pasangan tidak mengetahui menunggang motosikal dengan seseorang yang halal nikah menyalahi undang-undang syariah Terengganu.

“Saya tidak tahu menunggang dan membonceng motosikal dengan bukan mahram satu kesalahan,” kata mereka selepas ditahan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), lapor Sinar Harian.

Lima puluh dua individu itu, berusia antara 16 hingga 42 tahun, ditahan dalam Op Bonceng di Batu Buruk di sini malam Khamis lalu dengan alasan “berkelakuan tidak sopan di tempat awam”.

Ketua penolong pesuruhjaya penguatkuasa syariah JHEAT Nik Zulhaiza Ismail berkata mereka ditahan kerana didapati menunggang dan membonceng motosikal dengan bukan muhrim.

Tambahnya, mereka akan dipanggil menghadiri sesi kaunseling di pejabat JHEAT sebelum diberi amaran dan ditahan selepas ini jika terus mengulangi kesalahan sama.

Jika ingkar atau masih mengulangi perbuatan sama, mereka akan dikenakan tindakan menurut Seksyen 34 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001, katanya kepada akhbar itu.
loading...