Isnin, 9 Januari 2017

Video: Polis Cari Pemandu PROTON Satria Biru.

Kuala Lumpur – Polis meminta pemandu sebuah kereta PROTON Satria biru tampil bagi membantu siasatan kes langgar lari di sebuah stesen minyak di Jalan Tun Razak di sini, pada 1 Januari lalu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Nadzri Hussain, berkata menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di stesen minyak terbabit, pemandu PROTON Satria itu dilihat mengundur kenderaannya sebelum keluar lalu melanggar sebuah kereta Honda HRV di belakangnya.

“Rakaman CCTV gagal mengesan nombor pendaftaran PROTON Satria kerana tidak jelas, selain kenderaan itu bergerak ketika kejadian.

“Pemandu Honda HRV membuat laporan polis pada hari sama. Justeru, kita meminta pemandu PROTON Satria itu tampil ke balai bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, rakaman CCTV itu turut dihantar ke Jabatan Forensik bagi mengesan nombor plat kenderaan itu. – BH Online
loading...