Rabu, 4 Januari 2017

Video: Siti Jadi Bahan Lawak Kerana ‘Om Telor Om’

KUALA LUMPUR – Penyanyi terkenal Datuk Siti Nurhaliza Tarudin jadi bahan jenaka apabila menutur “om telor om” (pakcik, telor pakcik) apabila diminta menyebut “om telolet om”.

Ungkapan “om telolet om” (pakcik, [bunyikan hon] telolet, pakcik) menjadi sensasi di Indonesia sejak beberapa bulan lalu, sehingga menular di peringkat antarabangsa.

Namun Siti Nurhaliza, yang menjadi juri acara pencarian bakat D’Academy Asia 2 di televisyen Indosiar, terpinga-pinga apabila diminta pengacara untuk menyebutnya.

Program seni yang disiarkan hujung bulan lalu melibatkan juri-juri dan peserta-peserta luar negara, termasuk Malaysia, Singapura, Thailand dan Brunei.

Sewaktu diminta dua pengacara Rina Nose dan Ramzi menyebut permintaan membunyikan hon “om telolet om”, Siti Nurhaliza menyebut “om telor om” sehingga mereka di studio ketawa terbahak-bahak.

Apabila hadirin, pengulas dan pengacara riuh-rendah mendengar perkataan tersebut, Siti Nurhaliza menjelaskan beliau “tidak faham” ungkapan tersebut.

Seorang pengulas Soimah memberitahu penyanyi tersebut: “Aduh Datuk, kok om telor om, salah itu.” Selepas diajar dan diminta mengulangnya, Siti Nurhaliza akhirnya berjaya menyebut dengan betul.

Presiden Joko Widodo senang dengan sikap masyarakat meminta pemandu bas dan lori membunyikan hon berirama tersebut sebagai hiburan mereka.

“[Om telolet om] sebuah kesederhanaan, sebuah kesenangan, sebuah kebahagiaan dari rakyat untuk memperoleh sebuah hiburan atau hobi, saya kira sangat bagus,” katanya.

Namun polis Indonesia tidak suka gejala budaya tersebut, yang dilaporkan mulai menular di media sosial sejak November, menyebabkan hon dibunyikan tanpa sebab.

Undang-undang lalu lintas republik itu menyatakan pemandu yang mengganggu keselamatan lalu lintas boleh dihukum penjara dua bulan dan denda tidak lebih Rp500,000 (RM161).

Mulai bulan lalu, ungkapan tersebut menjadi perbualan ramai di luar negara itu apabila beberapa deejay (DJ) popular seperti Zedd, Hardwell dan Snake mengtweetnya.

“Om telolet om” pernah berada di tangga keempat topik paling popular di Twitter pada pertengahan Disember lalu.
loading...