Selasa, 7 Februari 2017

Pramugari Selamatkan Remaja Perempuan Berusia 14 Tahun Dalam Pesawat.

SEORANG pramugari berjaya menyelamatkan seorang remaja perempuan daripada menjadi mangsa pemerdagangan selepas menerima nota pesanan mangsa yang ditinggalkan di dalam tandas pesawat.

Memetik laporan NBC, Shelia Fedrick, 49, yang ketika itu sedang bertugas untuk penerbangan Alaska Airlines dari Seattle ke San Francisco menyedari remaja tersebut, dipercayai berusia 14 atau 15 tahun, duduk bersebelahan dengan seorang lelaki berpakaian kemas.

Fedrick berkata, mangsa memiliki rambut perang yang berminyak dan kelihatan seperti 'dalam kesengsaraan'.

Katanya, hanya lelaki itu sahaja memberikan respon manakala remaja tersebut tidak bersuara mahupun memandangnya sewaktu dia bercakap dengan kedua-dua penumpang terbabit.

Suspek didakwa menjadi defensif apabila pramugari itu mahu mengadakan perbualan.

Bagaimanapun, wanita kelahiran Alabama itu menerima mesej daripada remaja berkenaan yang pergi ke tandas menerusi nota pesanan yang ditinggalkan di cermin.

Fedrick berkata, nota pesanan itu memberitahu remaja tersebut memerlukan pertolongan.

Dia kemudiannya segera memaklumkan perkara itu kepada juruterbang, sebelum menghubungi polis.
Pihak berkuasa menahan suspek sebaik sahaja pesawat mendarat di lapangan terbang.

"Saya telah menjadi pramugari selama 10 tahun dan ia seperti saya kembali ke awal kerjaya semasa menjalani latihan penerbangan," katanya.

Laman web airlineamb.org melaporkan bahawa kru kabin kini mempunyai tip bagaimana untuk mengesan mangsa pemerdagangan, yang menjadi sebahagian daripada latihan penerbangan. - mStar Online
loading...