Sabtu, 18 Februari 2017

Senarai Nama Remaja Berbasikal Yang Maut Dirempuh Kereta.

Berikut senarai remaja yang terbunuh dirempuh kereta ketika menunggang basikal di Jalan Lingkaran Dalam, di sini, awal pagi tadi.
  1. Muhammad Firdauz Danish M Azahar - 16 tahun
  2. Mohammad Azrie Danish Zulkefli - 14 tahun
  3. Haizad Kasrin - 16 tahun
  4. Muhammad Shahrul Nizam Maruddin -14 tahun
  5. Fauzan Halmijah -13 tahun
  6. Muhamad Shahrul Izzwan Azzuraimee -14 tahun
  7. Mohamad Azhar Amir - 16 tahun
  8. Muhammad Harith Iskandar Abdullah - 14 tahun
Lapan remaja lelaki berbasikal maut apabila dirempuh sebuah kereta di Jalan Lingkaran Dalam bersebelahan Tanah Perkuburan Mahmoodiah, awal pagi Sabtu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, ACP Sulaiman Salleh berkata lapan remaja yang berumur antara 13 hingga 17 tahun itu maut ditempat kejadian.

Lapan lagi remaja mengalami kecederaan di mana dua daripadanya kritikal dan kini sedang dirawat di zon merah Hospital Sultanah Aminah (HSA).

Sulaiman berkata ketika kejadian itu, kereta yang dipandu oleh seorang wanita berumur 22 tahun itu tidak dapat mengelak lebih 20 hingga 30 kumpulan remaja berbasikal yang dipercayai memenuhi jalan.

“Apabila tiba di tempat kejadian, sekumpulan remaja 20 hingga 30 orang berada di situ menutupi jalan dan (pemandu) tidak sempat mengawal kenderaan.
“Jalan tersebut berbukit. Lapan orang remaja terbunuh di tempat kejadian dan dua masih kritikal di zon merah, dan enam lagi cedera setakat ini,” katanya.

Menurut beliau, kejadian berlaku pada kira-kira jam 3 pagi Sabtu semasa kenderaan itu dalam perjalanan dari Pelangi ke Skudai.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di bilik mayat HSA di Johor Bahru, Johor.

Jelas Sulaiman, pihak polis mendapati basikal yang digunakan oleh kesemua mangsa telah diubah suai dan tidak mengikuti spesifikasi yang dibenarkan.

Tegasnya biarpun punca kejadian masih belum dikenal pasti, beliau meminta agar ibu bapa sentiasa memantau pergerakan dan aktiviti anak masing-masing.

Sulaiman berkata, wanita tersebut kini disiasat dan siasatan awal mendapati wanita itu tidak mabuk semasa kejadian berlaku. Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
loading...