Jumaat, 10 Mac 2017

Pelajar Tingkatan 5 Hadapi Tuduhan Merogol Pelajar Tingkatan Satu

Seorang pelajar lelaki tingkatan lima dihadapkan di Mahkamah Majistret Ampang hari ini atas empat pertuduhan termasuk merogol dan mencabul seorang pelajar perempuan tingkatan satu yang sama sekolah dengannya.

Dua lagi pertuduhan ialah melakukan hubungan seks dengan objek dan melakukan persetubuhan bertentangan tabii terhadap mangsa yang berumur 13 tahun enam bulan itu tanpa kerelaannya.

Tertuduh yang berusia 17 tahun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Haslinda A Raof.

Bagi pertuduhan pertama remaja itu didakwa melakukan kekerasan jenayah iaitu melakukan hubungan seks dengan objek terhadap mangsa di tangga tingkat 2, sebuah bangunan rumah kedai di Taman Kosas pada 11.50 pagi 14 Februari lepas.

Dia juga didakwa melakukan persetubuhan bertentangan tabii terhadap mangsa yang sama di tempat, masa dan tarikh sama dan pertuduhan ketiga merogol mangsa di tempat sama pada 12.30 tengah hari pada 15 Februari lepas.

Tiga pertuduhan itu masing-masing mengikut Seksyen 377CA, Seksyen 377B dan Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan keempat, pelajar itu didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa yang sama dengan niat mencabul kehormatan mangsa di tempat sama pada 11.10 pagi 13 Februari lepas.

Bagi pertuduhan itu dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau dengan denda, atau dengan sebat atau dengan mana-mana dua daripada seksaan itu, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Raihanah Abdul Razak tidak menawarkan sebarang jaminan namun tertuduh yang diwakili peguam Akmal Jusoh memohon mahkamah membenarkan jaminan dengan alasan tertuduh perlu meneruskan pembelajaran selain akan menjalani peperiksaan minggu hadapan dan akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia.

Haslinda membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan syarat tambahan tertuduh dilarang mengganggu saksi pihak pendakwaan. Mahkamah menetapkan 17 April untuk sebutan semula kes.-Malaysiakini
loading...