Sabtu, 4 Mac 2017

"Polis Malaysia Ugut Bunuh Ahli Keluarga Saya" - Ri Jong-chol

KUALA LUMPUR: Pakar kimia warga Korea Utara yang dihantar pulang ke negara asalnya, semalam, mendakwa polis mengugut untuk membunuh ahli keluarganya kecuali beliau mengaku membunuh abang Kim Jong-un, dan menyifatkan ia plot untuk mencemarkan maruah negaranya.

Ri Jong-chol berkata demikian kepada wartawan di Beijing, pagi tadi ketika dalam perjalanan ke Pyongyang.

Pihak berkuasa Malaysia menyatakan tiada bukti kukuh untuk mendakwa Jong-chol atas tuduhan membunuh Kim Jong-nam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 13 Februari lalu.

Jong-chol ditahan empat hari selepas kejadian tetapi polis tidak pernah mendedahkan peranan beliau dalam kejadian itu.

Dua wanita, masing-masing warga Indonesia dan Vietnam, sudah dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan membunuh.

Polis mendakwa mereka "melumur" muka Jong-nam dengan agen saraf VX, yang dianggap senjata pemusnah yang dilarang penggunaannya.

Jong-chol berkata, beliau tidak berada di lapangan terbang itu ketika insiden pembunuhan Jong-nam, tetapi polis menuduhnya sebagai dalang utama dan mengemukakan "bukti palsu".

Katanya, beliau kemudian ditunjukkan gambar isteri dan dua anaknya yang tinggal bersamanya di Kuala Lumpur.

"Mereka berulang-kali meminta saya mengaku melakukan jenayah itu, jika tidak, seluruh ahli keluarga saya akan dibunuh dan anda (Jong-chol) juga tidak akan selamat.

"Jika anda (Jong-chol) menerima segalanya, anda boleh hidup dengan baik di Malaysia.

Ketika inilah saya sedar bahawa ia adalah perangkap, mereka merancang plot untuk mencemarkan reputasi negara saya," katanya. Bagaimanapun, pihak polis tidak memberikan sebarang komen ketika diminta mengulas mengenainya, hari ini. - Berita Harian Online
loading...