Sabtu, 18 Mac 2017

Remaja Pandu Gen-2 Lawan Arus Bakal Berdepan Satu Lagi Pendakwaan Mahkamah

GEORGE TOWN – Polis sedang menunggu keputusan ujian darah remaja yang memecut melawan arah trafik di Lebuhraya Utara Selatan, sebelum meneruskan pendakwaan dia menyebabkan kematian seorang lelaki ketika memandu di bawah pengaruh alkohol.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Chuah Ghee Lye bagaimanapun tidak pasti bila keputusan itu akan dikeluarkan Jabatan Kimia, tetapi polis akan mendakwa remaja berusia 19 tahun itu sebaik sahaja hasil ujian darah diketahui.

Ng Pei Ven, 19, melanggar 9 kenderaan ketika memandu melawan arah trafik di Lebuhraya Utara Selatan, dekat Butterworth, Selasa lalu, sehingga menyebabkan seorang pemandu berusia 26 tahun meninggal dunia.

Pagi semalam, Ng mengaku tidak bersalah atas dakwaan mengambil dadah berbahaya jenis amfetamina, berdasarkan hasil ujian air kencingnya. Dia kemudiannya dibebaskan dengan ikat jamin dan perlu melaporkan diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Bukit Mertajam setiap minggu.

“Polis sudah melengkapkan siasatan kemalangan itu dan menyerahkan kertas siasatan ke pejabat timbalan pendakwa raya.

“Kami sedang menunggu hasil kandungan alkohol dalam darah. Saya tidak tahu bila ia akan keluar, jadi saya tidak boleh mengulas bila kita akan mendapatkannya.

“Bagi remaja yang dibebaskan dengan ikat jamin itu, saya nasihatkan dia melaporkan diri di balai polis setiap minggu seperti yang diperintahkan mahkamah, jika tidak kita akan pergi cari dia,” katanya selepas merasmikan sebuah majlis di Seberang Jaya semalam.

Katanya, beliau tidak tahu mengenai penggantungan lesen memandu remaja itu seperti yang dilaporkan mysinchew.com dengan memetik Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

“Anda perlu rujuk menteri itu sendiri. Ia (penggantungan) perlu melalui bukan sahaja Akta Pengangkutan Jalan 1987, tetapi peraturan lalu lintas lain dalam akta itu,” kata Chuah.

Sementara itu, Chuah menasihatkan rakyat tidak menghina polis atau badan kehakiman di Internet berhubung kes itu yang menjadi perhatian umum.

Seorang netizen mengulas ikat jamin RM5,000 yang ditetapkan mahkamah “terlalu rendah”.

Chuah berkata: “Siapa kita untuk menentukan jumlah ikat jamin? Ia terpulang kepada majistret dan mahkamah.

“Saya mahu menasihatkan semua pihak bersabar dan jangan membuat komen spontan dan melulu yang mungkin memfitnah polis atau badan kehakiman.


“Tolong buat komen objektif berdasarkan fakta sebenar dan laporan sebelum anda ‘tularkan’ cerita mengenai isu ini. Jangan cuba jadi hero.” – Fmt
loading...