Khamis, 9 Mac 2017

"Saya Diperlakukan Seperti Sampah Dan Menyamakan Saya Dengan Pelacur", - Erin.

Kuala Lumpur: Perkahwinan yang dibina atas dasar cinta bertukar menjadi mimpi ngeri buat Erin, 37 tahun apabila dia menjadi mangsa keganasan rumah tangga oleh insan bergelar suami yang sepatutnya melindunginya.

Dia bukan saja didera mental dan fizikal, malah lebih malang lagi keempat-empat anaknya berusia lima hingga 10 tahun kini trauma apabila kerap melihat perlakuan ganas bapa mereka menyeksa Erin.


Menurut Erin, perkenalan selama lebih setahun di tempat kerja menimbulkan rasa sayang antara mereka sehingga masing-masing bersetuju sehidup semati menerusi perkahwinan yang didaftarkan pada 2007.

“Saya tak sangka nasib saya jadi begini. Walaupun tahu dia penagih dadah, saya masih boleh bersabar dan cuba memujuk dia meninggalkan tabiat buruknya itu.

“Biasanya dia akan berubah sekejap, selepas itu akan kembali mengambil dadah,” katanya yang kini mendapatkan perlindungan di Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO).

Kisah penderitaan Erin sebagai mangsa keganasan rumah tangga dikongsikannya ketika majlis pelancaran Laporan Kajian Kes WAO 2017 yang dilancarkan semalam.

Menurutnya, episod hitam rumah tangganya bermula selepas dikurniakan anak kedua dan sejak itu, dia menjadi mangsa penderaan suaminya sedikit demi sedikit sebelum bertambah parah pada 2014.

“Suami memperlakukan saya seperti sampah dan merendah-rendahkan harga diri saya dengan menyamakan seperti pelacur tepi jalan yang hanya laku RM20 hingga RM30 saja.

“Saya bukan saja dimarahi, malah dihentak ke dinding, rambut saya ditarik serta badan saya dipukul dengan batang paip, kayu dan dicucuh dengan puntung rokok.

“Dia juga pernah mengikat tangan saya dan telanjangkan saya. Paling saya sedih dan kecewa dia perlakukan semua itu depan anak-anak kami yang masih kecil,” katanya.

Katanya, sebagai seorang isteri, untuk beberapa tempoh dia hanya mampu bertahan di rumah bersama anak-anak berikutan tidak tahu saluran mana hendak dituju bagi menyelamatkan diri serta berlindung sementara di rumah kenalannya.

“Saya tiada sesiapa di sini sebab saya berasal dari Palembang, Indonesia. Jika ada pun hanya rakan tempat saya mengadu dan menumpang beberapa waktu ketika bergaduh dengan suami.

“Walaupun banyak kali cuba melarikan diri selepas dipukul suami, saya jadi lembut hati dan kembali ke rumah apabila dia cuba memujuk dan meminta peluang diberikan,” katanya.

Erin berkata, tahap kesabarannya mencapai kemuncak apabila dia mula sedar, dia harus kembali berjuang meneruskan hidup demi masa depan empat anaknya.
loading...