Khamis, 2 Mac 2017

Tak Perlu Tangkap ‘Biar Tokoh Bukan Islam Berdebat Dengan Zakir Naik’

PETALING JAYA: Pendakwah kontroversi dari India, Zakir Naik tidak perlu dikekang daripada menyampaikan pandangannya, menurut pendakwah bebas dan ahli exco Pemuda PKR, Wan Ji Wan Hussin.

Wan Ji berkata beliau tidak ada masalah dengan kehadiran Zakir yang kerap menimbulkan kemarahan segelintir pemimpin bukan Islam di negara ini atas kuliah perbandingan agamanya, yang dilihat mempertikaikan kepercayaan agama lain khususnya Hindu.

“Namun, secara peribadi saya lebih mencadangkan agar program wacana, debat atau dialog yang melibatkan Dr Zakir Naik tidak dibataskan kehadiran beliau sahaja, tetapi disertakan tokoh-tokoh atau ilmuan dari penganut agama selain Islam sama,” kata bekas ahli Jawatankuasa Dewan Ulama PAS Selangor itu.

Komen beliau susulan gesaan beberapa pihak agar kerajaan Malaysia mengusir Zakir, kerana menuduhnya mengganggu keharmonian kaum melalui ucapannya yang didakwa menghina agama lain.

Semalam, 19 individu termasuk Pengerusi Hindraf, P Waytha Moorthy, memfailkan saman terhadap Putrajaya kerana mendakwa ia melindungi Zakir yang menurut mereka mengancam keselamatan dan keharmonian negara.

Saman itu menamakan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, ketua pengarah Jabatan Imigresen, ketua pengarah Jabatan Pendaftaran Negara, ketua polis negara dan kerajaan Malaysia.

Tindakan mahkamah itu dikritik beberapa penyokong Zakir, termasuk PAS dan Mufti Perlis, Datuk Asri Zainul Abidin.

“Mereka sepatutnya beri ruang kepada wacana ilmu tanpa emosi. Mereka yang menolak wacana ilmu seperti Dr Zakir itulah yang mendorong kepada ketidakharmonian,” kata Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS, Datuk Khairuddin Aman Razali.

“Pihak yang tidak berpuas hati saya cadang supaya bersemuka sendiri dengan Zakir dan utarakan pandangan bukannya melakukan bantahan secara emosi.”

Kebimbangan langgar perlembagaan

Wan Ji bersetuju adalah lebih baik Zakir ditangani secara ilmiah, tetapi khuatir pemimpin bukan Islam bimbang akan dituduh cuba menyebarkan agama mereka, sesuatu yang melanggari Perlembagaan Malaysia.

Wan Ji berkata, bagi memastikan dialog dan debat antara agama dilakukan secara adil, kerajaan boleh memberikan keizinan bertulis kepada wakil bukan Islam.

“Ini bertujuan tidak lahir ketakutan mereka dari sudut perundangan ketika terlibat secara langsung dalam debat dan wacana ilmiah tersebut.

“Saya berharap, amalan dialog, debat dan wacana sihat dalam isu-isu agama wajar disuburkan dengan sihat, dan perlu mendapat sokongan dari pihak kerajaan untuk melahirkan anutan agama secara kefahaman, bukan ikut-ikutan buta,” kata Wan Ji.-FMT
loading...