Khamis, 23 Mac 2017

Video 3 Beranak Rentung Termasuk Kanak-kanak

Tiga beranak maut termasuk seorang kanak- kanak dalam kemalangan membabitkan dua buah kereta jenis Proton Saga dan Mercedes di Kampung Tok Kaya dekat Pulai Chondong, di sini, petang tadi.

Kemalangan yang berlaku kira-kira jam 3 petang itu turut menyebabkan dua ahli keluarga lain cedera parah dan seorang cedera ringan.

Selain itu, kereta yang dinaiki mangsa turut hangus terbakar.

Mangsa, Azizah Zakaria, 74 tahun, maut di tempat kejadian manakala anaknya yang juga pemandu kereta, Siti Rohani Yajid, 35 tahun, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Machang.

Turut maut dalam perjalananan ke hospital, anak Siti Rohani, Mohd Zahirul Fitri Mohd Hasrul Nizam, 11 tahun.

Manakala suami Azizah, Yajid Ismail, 82 tahun serta seorang lagi anak Siti Rohani, Mohd Tharid Hakim, 5 tahun, cedera parah.

Sementara itu, anak mangsa, Mohd Zahid Yajid, 47 tahu, berkata, ibu bapa dan adik bongsunya itu dalam perjalanan dari Sungai Satan, Jeli ke rumahnya di Kampung Teras, Kubang Kerian.

Katanya, mereka merancang untuk mengadakan majlis tahlil adiknya pada Jumaat ini, selain meluangkan masa bersama-sama.

Tambahnya, dua lagi anak Siti Rohani turut berada di dalam kereta tersebut menjadikan kesemua mereka tujuh beranak di dalam kenderaan tersebut.

“Seorang anak Siti Rohani berusia sembilan tahun cedera ringan dan yang bongsu berusia dua tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Arwah (Siti Rohani) baru pulang bercuti dari Kajang ke rumah ibu bapa kami di Sungai Satan, semalam,” katanya kepada pemberita di Unit Forensik, Hospital Machang.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Machang, Nik Ahmad Afsham Nik Pa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.15 petang dan bergegas ke tempat kejadian bersama sebuah jentera dan tujuh anggota.

Katanya, sebaik tiba di tempat kejadian semua mangsa sudah dikeluarkan oleh orang ramai.

“Sebaik tiba di tempat kejadian api sedang marak dan kami mengambil masa kira-kira​ 10 minit untuk memadamkan kebakaran.

“Mangsa yang maut dan cedera dibawa ke Hospital Machang,” katanya.
loading...