Jumaat, 24 Mac 2017

Video Detik Dramatik Tentera Tanggal Bom Pada Budak Berusia 7 Tahun.

Baghdad – Satu rakaman video menunjukkan detik dramatik seorang tentera Iraq menanggalkan bahan letupan yang diikat pada pinggang seorang kanak-kanak lelaki dianggarkan berusia tujuh tahun.

Kanak-kanak itu ditemui di luar Mosul selepas bersembunyi dalam kalangan penduduk yang melarikan diri daripada kumpulan militan Daish.

Dalam rakaman selama dua minit itu, seorang tentera dilihat perlahan-lahan mengangkat jersi biru tertulis nama bintang bola sepak Chelsea, Eden Hazard, yang dipakai kanak-kanak itu seterusnya mendedahkan sesuatu yang nampak seperti letupan dililit pada pinggangnya.

Anggota tentera terbabit kemudian meminta kanak-kanak berkenaan mengangkat tangannya sebelum secara berhati-hati menggunting wayar dan menanggalkan peranti sambil menenangkan kanak-kanak berkenaan dengan berkata “jangan takut.”

Dia kemudian menunjukkan peranti yang turut merangkumi telefon bimbit serta bateri kepada kamera.

Video itu dilaporkan dirakam di luar Mosul pada 18 Mac lalu dan disiarkan  dengan keterangan mendakwa, kanak-kanak itu orang paling muda dijadikan pengebom berani mati Daish. Dakwaan itu bagaimanapun tidak dapat dipastikan kesahihannya.

Kanak-kanak dikenali sebagai Uday itu berkata, dia dihantar ‘pak cik’ dengan arahan menyasarkan anggota tentera.

Menurut mereka, kumpulan berkenaan menggunakan orang awam sebagai perisai manusia dalam pada unit kerajaan mara ke arah Masjid al-Nuri.
loading...