Khamis, 9 Mac 2017

Video Seorang Wanita Menolak Lamaran Kekasih Kerana Rumahnya Tiada Tandas.

IMPIAN seorang lelaki di China untuk berkahwin dengan teman wanitanya bertukar insiden memalukan apabila lamaran yang dibuat di khalayak ramai ditolak ‘mentah-mentah’ oleh gadis berkenaan.

Memetik laporan portal South China Morning Post, pemuda itu membuat kejutan apabila melamar kekasihnya di Nanning di wilayah Guangxi, selatan China, namun lamaran itu bertukar mimpi buruk apabila wanita berkenaan menolak lamaran kerana rumah lelaki itu terlalu sempit.

Berdasarkan video yang tular di media sosial di China, wanita itu kedengaran menjerit ke arah teman lelakinya memberi isyarat bahawa lelaki berkenaan tidak layak untuk menjadi suaminya kerana rumah pemuda itu tidak mempunyai tandas.

“Rumah kamu tandas pun tiada, bahkan juga bilik air. Kamu melamar aku untuk berkahwin denganmu? Kamu begitu lucu!,” wanita itu menjerit kepada lelaki itu di hadapan khalayak ramai.

Selepas dimalukan, lelaki itu kemudiannya kelihatan berlalu pergi tanpa berkata apa-apa.

Menurut portal tersebut, video itu dimuat naik di laman sosial pada Sabtu lalu dan ditonton lebih 10 juta kali dalam masa kurang 24 jam.

Rata-rata pengguna media sosial di negara itu meluahkan reaksi pelbagai terhadap insiden tersebut, yang mana antaranya mengecam tindakan wanita itu memalukan teman lelakinya hanya kerana rumahnya tidak mempunyai tandas.

Namun, ada juga yang menyokong bahawa wanita itu perlu menolak lamaran lelaki itu kerana pemuda berkenaan ‘tidak mampu’ menyediakan keperluan asas seperti bilik mandi.

Insiden di mana lelaki dimalukan di khayalak ramai gara-gara lamaran mereka ditolak oleh teman wanita kerap kali berlaku di China.

Sebilangan besar lelaki di negara tembok besar itu gagal mencarikan pasangan hidup kerana isu ketidakseimbangan jantina dan harga rumah di bandar-bandar di China semakin melambung tinggi.

Dianggarkan lebih kurang 30 hingga 40 juta lelaki di negara itu masih belum berkahwin.
loading...