Sabtu, 11 Mac 2017

Wanita Maut Selepas Dipaksa Gugur Kandungan Kerana Mengandung Anak Perempuan

Seorang bapa yang terlalu sedih kerana anaknya meninggal dunia selepas dipaksa menggugurkan kandungan disebabkan dia mengandung anak perempuan, telah menjalankan upacara pembakaran mayat anaknya itu depan rumah mertuanya.

Sunil Jadhav, 50, berkata, dia sengaja menjalankan upacara berkenaan di depan rumah mertua anaknya, Swati Jamdade supaya mereka akan mengingati detik berkenaan selamanya. Dia juga mahu mertua Swati dibawa ke pengadilan.

“Swati adalah seorang yang ceria tetapi berubah menjadi pendiam. Kami tidak dibenarkan menemuinya dan dia selalu diganggu supaya melahirkan anak lelaki.

“Jadi kami bakar mayatnya di depan rumah mereka supaya mereka akan ingat apa yang telah mereka lakukan kepadanya,” kata Sunil.

Swati telah berkahwin dengan Praveen Jamdade dan menetap di rumah mertuanya di India.

Namun selepas jantina bayi yang dikandung itu dikenalpasti sebagai perempuan, mertua Swati yang terlampau mahukan cucu lelaki telah mendesak menantu mereka menjalani pengguguran secara haram di sebuah klinik.

Sebelum ini dua anak pasangan itu adalah perempuan dan Praveen dikatakan menangis berjam-jam selepas kelahiran anak kedua mereka disebabkan anak terbabit bukan anak lelaki pada 2015.

Swati didakwa telah didera sebelum dipaksa menggugurkan kandungan. Dia meninggal dunia pada 1 Mac lalu. Pada mulanya mertuanya menyatakan kematian menantu mereka adalah disebabkan sakit jantung.

Namun selepas bedah siasat dijalankan, barulah diketahui punca kematian Swati adalah disebabkan pengguguran haram.

Suami Swati dan pemilik klinik haram itu telah ditangkap. Polis juga menemui 19 janin perempuan yang ditanam di kawasan klinik terbabit.
loading...