Sabtu, 4 Mac 2017

Zakir Naik Setuju Berjumpa Siti Kassim

KUALA LUMPUR – Penceramah tersohor, Dr Zakir Naik tidak keberatan untuk bertemu dengan peguam Siti Kassim.

Perkara itu dimaklumkan Pegawai Khas Pejabat Penasihat Perdana Menteri, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahaya dalam satu status di Facebook miliknya, sebentar tadi.

Fathul Bari menulis status tersebut; “Saya telah maklumkan kpd Dr Zakir Naik tentang cadangan saya supaya Siti Kassim&Asiah Jalil bertemu beliau. Dan ini jawapan beliau………..”.

Beliau turut memuat naik paparan skrin aplikasi WhatsApp  perbualannya bersama Dr Zakir berhubung pertemuan yang bakal diaturkan nanti.

“Saya mengajak Siti Kassim dan Asia Jalil untuk berjumpa kamu (Zakir),”tulisnya

Paparan itu turut menunjukkan maklum balas Zakir yang bersetuju dengan cadangan pertemuan tersebut; “Jika kamu fikir ia membuahkan hasil baik dengan niat mereka ia bagus dan saya tidak kisah untuk bertemu dengan mereka,”balasnya.

Kelmarin, Fathul Bari dalam pertemuan eksklusif dengan SuaraTV memaklumkan cadangan untuk mengaturkan perjumpaan di antara Dr Zakir Naik dengan peguam Siti Kassim.

Sebelum ini, Fathul Bari turut menegaskan, jika pada zaman Rasulullah s.a.w dahulu, sesi dialog agama sangat diunjurkan untuk kita saling mengetahui berhubung agama lain.

Terdahulu, seramai 19 rakyat Malaysia telah memulakan prosiding undang-undang terhadap kerajaan dan empat yang lain untuk mendapatkan perintah mahkamah bagi mengisytiharkan pendakwah Dr Zakir Naik sebagai ancaman kepada keselamatan negara.

Plaintif terdiri daripada peguam, aktivis hak asasi manusia, ahli perniagaan dan juga bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy dan juga pengerusi Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (Hindraf).

Mereka yang lain termasuklah aktivis Dr Lim Teck Ghee, Datuk Dr Jeffrey Kitingan dari STAR (Parti Solidariti Tanah Airku) Sabah dan peguam Siti Zabedah Kassim.

Mereka membuat permohonan kepada Mahkamah Tinggi bagi mendapatkan perisytiharan bahawa Dr Zakir adalah satu ancaman kepada ketenteraman awam, moral, ekonomi, keharmonian sosial dan pendidikan negara.

Mereka juga mahukan satu pengisytiharan bahawa Dr Zakir adalah ancaman kepada perpaduan negara dan keamanan berbilang kaum di Malaysia.-SuaraTV
loading...