Khamis, 6 April 2017

3 Pemain Bola Disyaki Rasuah

Gambar Hiasan
Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tiga pemain Malaysian Indian Sports Council-Malaysian Indian Football Association (MISC-MIFA) kerana disyaki mengambil wang rasuah daripada bookie sebagai habuan untuk menentukan keputusan perlawanan bola sepak Liga Perdana.

Sumber berkata, seorang pemain yang ditahan adalah pemain import manakala dua lagi pemain tempatan.

Ketiga-tiga mereka ditahan di pejabat SPRM Putrajaya ketika hadir untuk memberi keterangan bermula 6 petang semalam.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek menerima wang antara RM10,000 hingga RM30,000 daripada bookie untuk menentukan keputusan perlawanan.

Menurut sumber suspek terbabit dalam kegiatan itu sejak beberapa tahun yang lalu.

"Semua suspek sudah mengaut keuntungan ratusan ribu ringgit hasil daripada wang rasuah diterima itu.

"Kemungkinan lebih ramai lagi yang akan ditahan berhubung siasatan kes ini dalam masa terdekat," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan berkata SPRM tidak bertolak ansur dengan perbuatan sedemikian yang boleh menjatuhkan reputasi sukan negara.-Harian Metro
loading...