Isnin, 24 April 2017

4 Beradik Yatim Piatu Sekelip Mata

Empat beradik berusia empat hingga 11 tahun menjadi yatim piatu dalam sekelip mata apabila ibu bapa mereka maut dalam nahas jalan raya di Kilo­meter 41, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan di Kampung Merchang dekat sini petang semalam.

Dalam kejadian pukul 6.25 petang itu, bapa mereka, Badrulhisham Omar, 41, dan ibu, Noor Amalia Noorzan, 34, meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.

Ini merupakan kejadian ketiga melibatkan pasangan suami isteri maut akibat kemalangan jalan raya dalam tempoh kurang se­minggu menyebabkan anak-anak menjadi yatim piatu.

Pada 18 April lalu, Asisten Superintenden Mat Noor Mat Yaub, 38, dan isteri, Suriya Abdul Rahman, 37, maut dalam kemala­ngan di Jalan Kampung Teluk Teduri, Baling, Kedah dan mening­galkan lima anak berusia antara lima hingga 11 tahun.

Keesokannya, sepasang lagi suami isteri iaitu Mohd. Fadzil Noh, 37, dan isteri, Julaiha Senin, 36, maut dalam kemalangan di Kilometer 24, Jalan Mawai-Tanjung Sedili berdekatan Bukit Tiga, Kampung Sayang.

Dalam kejadian semalam, Badrulhisham menghembuskan nafas terakhir pukul 6.16 pagi ini manakala isterinya, Noor Amalia pada pukul 12.35 tengah malam tadi.

Kedua-duanya bekerja sebagai guru di Kemaman.

Badrulhisham bertugas di Sekolah Kebangsaan Binjai manakala Noor Amalia ber­khidmat di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ismail.

Ketua Jabatan Siasatan Pe­nguatkuasaan Trafik negeri, Superintenden Abd. Razak Hasan ketika mengesahkan kejadian itu berkata, empat beradik yatim piatu itu ialah Danish, 11, Damia, 9, Diyani, 7, dan Darwish, 4.

Beliau memberitahu, sewaktu kejadian, kenderaan tersebut dipandu oleh Noor Amalia manakala suaminya, Badrulhisham du­duk di kerusi depan sebelah pemandu.

Menurutnya, kemalangan berlaku apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki keluarga itu dalam perjalanan dari Kuala Terengganu ke arah Kuantan sebelum bertembung dengan sebuah lagi MPV yang dinaiki tujuh sekeluarga.

“Tujuh sekeluarga lagi yang menaiki MPV menghala ke Kuantan mengalami kecederaan dan mereka menerima rawatan lanjut,” ujarnya.

Kesemua tujuh sekeluarga yang cedera itu ialah penyelia gudang di Kuantan, Pahang, Zulkahar Ismail, 52, isterinya, Munira Nordin, 49, serta tiga anak mereka iaitu Intan Zubati, 21, Ierman Putra, 20, Ierman Rifqi Idraki, 7, dan dua saudara mereka iaitu Nur Farisha Haida Md. Fadzil, 20, dan Muhammad Najhan Zainuddin, 21.

Abd. Razak berkata, siasatan lanjut masih dijalankan dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
loading...