Rabu, 19 April 2017

Bapa Buat Laporan Dakwa Anak Dipukul Guru Sehingga Berlaku Pendarahan Di Mata.

Kota Baharu – Seorang bapa membuat laporan polis mendakwa anaknya dipukul guru sehingga menyebabkan berlaku pendarahan di dalam mata sebelah kiri.

Raja Faizuddin Raja Sulaiman, 39, berkata kejadian disedari pada pukul 1.40 tengah hari Isnin ketika beliau dan isteri menghantar bekalan makanan kepada anaknya, Raja Irfan Anaqi, 8,  yang belajar tahun 2 di Sekolah Rendah Kebangsaan Dato’ Hashim 2 di Pengkalan Chepa  di sini.

“Ketika bertemu dengan anak, saya dapati berlaku pendarahan dalam mata Raja Irfan. Saya bertanya kepadanya dan rakan-rakannya kenapa mata boleh cedera.

“Raja Irfan dan rakan-rakannya memberitahu seorang guru lelaki telah memukulnya menggunakan penyapu bulu ayam di bahagian batang besi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis (IPD) Kota Bharu.

Raja Faizuddin berkata beliau kemudian ke kelas anaknya itu untuk mencari penyapu bulu ayam tersebut namun tidak menemui barang berkenaan.

Beliau berkata penjelasan pihak sekolah mengenai insiden itu juga tidak memuaskan hati.

Beliau kemudian membawa anaknya ke Unit Kecemasan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di sini untuk mendapatkan rawatan.

Timbalan Ketua Polis Kota Bharu Supt Setapa Yusuf ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai insiden itu.-Bernama
loading...