Rabu, 12 April 2017

Batu Karang Sebesar Tembikai

New Delhi – Pakar bedah di India terpaksa menggunakan alat untuk mengumpil keluar batu karang sebesar tembikai daripada pundi kencing seorang lelaki.

Maheshbhai Rasikbhai Patel, 49, mengalami kesakitan yang teruk pada bahagian perutnya dan dimasukkan ke hospital, tetapi doktor terkejut apabila menemui batu berukuran 11.5 sentimeter di dalam pundi kencingnya yang mengambil masa satu jam setengah untuk dikeluarkan.

Video yang diambil ketika pembedahan di Hospital Sri Sainath itu menunjukkan pasukan doktor terbabit berusaha mengeluarkan batu itu menggunakan pelbagai peralatan sehingga berjaya mengumpilnya keluar.

Batu seberat 1.4 kilogram (kg) itu mengalahkan rekod batu seberat 1.22kg dikeluarkan daripada abdomen seorang pesakit kanser pada 2010.

Maheshbhai kini semakin pulih dalam masa tidak sampai seminggu.

“Saya mengalami sakit yang amat sangat sejak beberapa hari lalu.

“Bagaimanapun, sebaik selesai pembedahan itu, saya terus sihat,” katanya.

Pakar bedah Maheshbhai, Dr Dhirubhai C Patel berkata: “Pesakit tidak mempunyai sakit kronik. Kesakitan itu berlaku pada waktu malam dan tidak menunjukkan tanda ia akan sembuh.

“Antara sebab pembentukan itu berlaku akibat paras kalsium yang tinggi dan aliran air kencing yang tidak teratur. Batu karang biasanya kecil tetapi yang ini betul-betul besar.”-Metro
loading...