Isnin, 3 April 2017

Debat Batal? Ini Jawapan Tun M

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mempersenda keputusan polis membatalkan kebenaran terhadap penganjuran debat antara beliau dan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Aziz.

Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam dalam surat kepada Kumpulan Media Karangkraf selaku penganjur debat itu berkata kelulusan itu dibatalkan atas alasan ketenteraman awam berikutan aduan daripada penduduk setempat.

Bagaimanapun, Mahathir menegaskan bahawa lokasi debat itu, di pejabat Karangkraf di Shah Alam, adalah kawasan perindustrian.

"Petang tadi saya dapat maklumat, polis kata tak boleh, kononnya ada orang-orang di situ buat laporan, takut jadi huru hara.

"Bukan ada siapa pun duduk di situ, yang ada kilang saja. Jadi sekali lagi dibatal. Dibatal kerana apa, kerana takut," kata Mahathir dalam satu ceramah anjuran BERSATU di Cheng, Melaka malam tadi.

Memetik pepatah Melayu dalam lirik lagu BERSATU, "Berani kerana benar, takut kerana salah", Mahathir berkata kerajaan takut kerana tahu ia telah melakukan kesilapan.

"Yang tangguh nak bahas ini kerana dia tahu dia salah," katanya.

Debat sebelum ini sepatutnya berlangsung pada 25 Mac di Kuala Kangsar tetapi turut dibatalkan selepas polis Perak enggan memberi kelulusan.-Malaysiakini
loading...