Isnin, 24 April 2017

Deodoran Penyebab Kanser Payudara

Berlegar-legar lagi artikel mengenai ‘bahaya’ deodoran yang menyebabkan kanser payudara. Sebenarnya, artikel ini adalah terjemahan secara literal dari artikel berbahasa inggeris dalam email berantai yang dikesan sejak tahun 1990an lagi. Fakta utama dalam artikel tersebut menyatakan kandungan aluminium chlorhydrate dalam deodoran dan antipeluh (antiperspirant) mampu menyebabkan kanser payudara.

DEODORAN & ANTIPELUH
Deodoran digunakan dalam penjagaan kebersihan diri setiap hari untuk mengelakkan bau yang tidak enak dari tubuh kita apabila berpeluh. Peluh manusia kebiasaannya tidak berbau. Namun, kadang-kala tabiat pemakanan kita menyebabkan kita mengumuhkan sebahagian kecil kompaun dalam peluh dan mengakibatkannya berbau tidak enak.

Tubuh kita juga mempunyai bakteria komensal yang akan bertindak-balas dengan peluh dan sel-sel kulit yang mati. Ia menguraikan protein dan lipid dalam peluh dan menghasilkan kompaun yang berbau (meruap).

Kehadiran Corynebacterium contohnya menguraikan lipid dalam peluh kepada asid butyric. Staphylococcus hominis dan S. epidermidis menghasilkan asid propionic dan asid isovaleric yang juga terdapat dalam sesetengah keju. Mungkin sebab ini juga bila kita berpeluh, kita berbau masam.

Bau-bauan yang kurang enak lain juga mungkin diakibatkan oleh kehadiran asid lemak rantai pendek seperti kompaun terbitan asid methylhexanoic dan sulfanylalkanols. Ia juga diakibatkan oleh kehadiran produk steroid androstenone dan androstanol yang menghasilkan bau.

Deodoran direka dan diformulasi untuk mengelak dan merencat pertumbuhan bakteria di kawasan yang banyak memerangkap peluh seperti di ketiak. Deodoran bersifat antibakteria samaada mengandungi alkohol, mengandungi antibakteria triclosan, mengubah pH kulit, mengandungi ‘chelator’ seperti EDTA dan sebagainya yang bertujuan untuk menjadikan kawasan ketiak tidak sesuai untuk pembiakan bakteria.

Deodoran juga kadang-kala mengandungi bahan antipeluh seperti aluminium chlorhydrate. Kompaun aluminium akan bertindakbalas dengan elektrolit-elektrolit dalam peluh untuk menghasilkan plug yang menyekat kelenjar peluh. Plug ini adalah halangan fizikal untuk menyekat peluh dirembes kepermukaan kulit.

Garam aluminium ini juga sedikit bersifat astringent yang mengakibatkan liang peluh mencerut dan menghalang rembesan peluh.

ALUMINIUM, ALUMINIUM CHLORHYDRATE DALAM KOSMETIK & MAKANAN
Selain deodoran antipeluh, aluminium terdapat dalam banyak produk kosmetik lain seperti lipstick, concealer, bedak asas, bedak, pembayang mata, blusher kerana kegunaannya dalam warna dan sebagai agen pemekat

Aluminium adalah antara elemen bumi terbanyak seperti oksigen, silicon, karbon. Disebabkan kehadiran aluminium dalam tanah, kebanyakan pendedahan manusia pada aluminium adalah dari makanan dan minuman yang kita ambil setiap hari. Bahkan, kandungan aluminium dari diet kita menyebabkan kepekatan yang diserap oleh tubuh dari pendedahan tidak sengaja dari produk kosmetik dan vaksin, contohnya tidak begitu signifikan.

BENARKAH ALUMINIUM CHLORHYDRATE MENYEBABKAN KANSER PAYUDARA
Aluminium dikatakan mampu mengubah struktur DNA sel dan menyebabkan mutasi, seterusnya meningkatkan tumorigenesis. Beberapa kajian in vitro terhadap sel mammari menunjukkan kehadiran aluminium yang tingggi mampu mengubah ciri-ciri sel dari normal ke malignan, dari karsinoma ke metastasis (Darbre et al. 2013, Farasani et al. 2015). Apabila sel yang diaruh aluminium secara in vitro dipindahkan ke tikus, ia juga berupaya membentuk

Biopsi dari tisu payudara juga menunjukkan paras aluminium dalam tisu dan lapisan lemak payudara. Namun, kajian lain (Rodriguez-Perez et al., 2013) menunjukkan paras aluminium dalam tisu kanser malignan payudara mengandungi paras aluminium yang sama dengan tisu dari orang yang normal. Tambahan pula, lokasi tumor pada payudara tidak diaruh oleh kepekatan aluminium.

Walaupun kajian secara in vitro dan pada tikus makmal memberikan hypothesis yang mengaitkan aluminium dan risiko kanser payudara, kajian populasi dan epidemiologi yang menunjukkan risiko langsung dan hubungan sebab-akibat yang kukuh adalah amat terbatas. Kajian sedia ada menunjukkan tiada kaitan antara penggunaan deodoran antipeluh dengan risiko kanser payudara.

Kajian populasi Mirick et al. (2002) terhadap lebih 800 wanita menunjukkan tiada kaitan antara penggunaan deodoran antipeluh dengan kanser payudara. Kajian lanjut berkaitan jenis penggunaan (deodoran atau antipeluh), kekerapan mencukur ketiak juga gagal menunjukkan peningkatan risiko kanser payudara bagi pengguna deodoran.

Review sistemik dari Namer et al. menjelaskan masih tiada bukti kukuh menyokong hipotesis penggunaan deodoran / antipeluh dan kanser payudara. Jurnal ini juga menjelaskan beberapa kajian sebelum ini yang menunjukan korelasi antara deodoran antipeluh dan risiko kanser mempunyai falasi dan hanya menunjukkan korelasi, bukan hubungan sebab-akibat (causal relationship) yang kukuh. Satu lagi kajian retrospektif di Iraq antara 54 pesakit kanser dan 50 responden yang sihat menunjukkan 82% responden sihat menggunakan antipeluh berbanding 51.8% pesakit kanser.

Kesimpulannya, walaupun ada beberapa kajian mengaitkan (indirectly) bahan aluminium dalam deodoran dan antipeluh dan kanser payudara, kajian pada populasi berkaitan penggunaan deodoran dan antipeluh itu sendiri tidak menunjukkan peningkatan risiko kanser payudara. Ini mungkin disebabkan amaun aluminium yang diserap oleh tubuh melalui kulit adalah rendah dan tidak mampu untuk mengubah keadaan tisu payudara secara langsung. Lebih banyak kajian terhadap penggunaan jangka panjang isu ini masih perlu dilakukan.

JADI SELAMATKAH PENGGUNAAN DEODORAN DAN ANTIPELUH?

Sehingga teori yang mengaitkan penggunaan deodoran dan antipeluh dengan peningkatan risiko kanser dapat dibuktikan secara kukuh, penggunaannya dianggap selamat jika paras aluminium dalam barangan tersebut menuruti kepekatan yang dibenarkan. Terpulang kepada setiap individu untuk meneruskan penggunaan deodoran dan antipeluh atau meninggalkannya.rootofscience.com
loading...