Khamis, 20 April 2017

'Dia Memegang Kuat Tangan Saya Dan Sayu Melihat Saya.

DAMSYIK - SYRIA . Dia ditugaskan mengambil gambar di zon perang, bagaimanapun naluri kemanusiaannya tidak dapat diketepikan apabila melihat kanak-kanak dibom.

Itulah tindakan yang dilakukan Abd Alkader Habak ketika kejadian hinggakan melepaskan momen sepatutnya dirakamkan seorang jurugambar.

Memetik laporan CNN, Abd Alkader berkata, dia mengambil tindakan itu selepas melihat situasi yang berlaku selepas kejadian pengeboman itu.

"Keadaan ketika itu sangat mengerikan, terutamanya melihat kanak-kanak meraung dan ada yang mati di hadapan anda.

"Jadi saya berpakat dengan rakan-rakan saya untuk mengetepikan kamera kami seketika dan mula menyelamatkan orang yang tercedera," katanya kepada CNN.

Tatkala itu, katanya dia ada melihat seorang kanak-kanak yang tercedera lantas segera menyelamatkannya.

"Kanak-kanak itu, memegang kuat tangan saya dan sayu melihat saya," katanya yang membawa kanak-kanak itu ke sebuah ambulans.

Momen Habak ketika menyelamatkan kanak-kanak itu, kemudiannya telah diambil oleh jurugambar lain Muhammad Alrageb, yang menunjukkan Habak berlari ke arah ambulans.

Algareb berkata, beliau juga turut membantu beberapa mangsa yang cedera tetapi kemudiannya mula mengambil gambar semula.

"Saya berasa bangga bahawa ada seorang daripada kami telah membantu menyelamatkan nyawa orang," katanya.

Dalam kejadian pengeboman yang berlaku minggu lepas telah mengakibatkan seramai 126 orang terbunuh.-Sinar Harian
loading...