Khamis, 13 April 2017

Didakwa Merogol Ustazah Yang Juga Jirannya.

Kota Bharu: Buruh binaan dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan tujuh sebatan oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas tuduhan merogol ustazah dan meletakkan lawi ayam ke leher mangsa, lima tahun lalu.

Hakim Nazri Ismail menjatuhkan hukuman itu kepada tertuduh, Mohd Rifaudin Che Azmi, 27, yang mengaku bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol mangsa yang juga jirannya yang kini berusia 32 tahun dan meletakkan lawi ayam ke leher hingga menimbulkan ketakutan akan kematian terhadap mangsa di sebuah rumah di Pulai Chondong, Machang, jam 8.30 malam, pada 25 Oktober 2012.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 376(2)(b) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan sehingga 30 tahun dan sebatan.

Terdahulu, peguam Ahmad Nuri Abd Rahman memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan kerana tertuduh sudah menyesal dengan kesilapan dan ia adalah kesalahan pertama.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nor Azlinawati Mohd Arshad memohon hukuman setimpal kerana kesalahan rogol adalah serius dan mangsa adalah isteri orang.
loading...