Selasa, 4 April 2017

Ditetak Gara-Gara Tidak Menjual Rokok.

Berang kerana kedai tidak menjual rokok, seorang lelaki bertindak menetak tangan seorang peniaga dalam sebuah kedai di Jalan Kuala Kangsar – Taiping, baru-baru ini.

Kejadian itu menyebabkan seorang warga emas berumur 82 tahun yang enggan namanya didedahkan cedera di tangan kanannya.

Menceritakan semua kejadian itu, kedai warga emas itu didatangi seorang lelaki yang mahu membeli rokok.

“Lelaki itu mengayunkan parang kepada saya dan dalam keadaan cuba mengelak, tangan saya terkena hayunan parangnya.

“Saya katakan padanya bahawa kedai ini tidak menjual rokok. Secara tiba-tiba dia berang. Entah dari mana datangnya saya lihat dia sudah memegang sebilah parang.

“Saya tak tahu berapa kali dia tetak saya kerana pada masa tu saya cuma fikir untuk selamatkan diri,” katanya.

Menurutnya, lelaki itu melarikan diri selepas ada pelanggan datang ke kedai.

“Saya rasa mungkin lelaki itu berniat mahu menyamun kedai saya dan bertanyakan rokok merupakan taktiknya.

Mungkin dia berang kerana taktiknya tidak begitu menjadi bila saya kata tiada rokok.

“Mujur ada pelanggan masuk ke kedai selepas dia tetak saya. Kalau pelanggan itu lambat masuk, mungkin lebih teruk kecederaan saya malah mungkin maut.

“Selepas lihat keadaan kecoh, seorang pelanggan membawa saya ke Hospital Kuala Kangsar untuk menerima rawatan,” katanya.

Dalam pada itu, cucu warga emas itu yang ingin dikenali sebagai Hong, 24 tahun, berkata, dia terkejut apabila melihat kedai datuknya itu dipenuhi orang.

“Bila masuk, baru saya tahu rupa-rupanya datuk saya ditetak dan ada cubaan samun. Terdapat kesan darah di kaunter dan lantai dalam kedai.

“Saya tidak pasti lagi jumlah barang yang hilang. Saya kemudiannya buat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Kangsar,” katanya.

Sementara itu, Sinar Harian cuba mendapatkan pengesahan pihak polis, bagaimanapun sehingga jam 6 petang semalam tiada sebarang kenyataan dikeluarkan berhubung kes berkenaan.
loading...