Memetik sebuah portal, doktor itu mendedahkan trend pelaku
seks rambang, pengamal hubungan seks songsang atau lebih dikenali sebagai LGBT
dan penghidap HIV di hospital kerajaan yang sangat pentingkan diri sendiri.
Dr Hana memuat naik statusnya di Facebook, mendedahkan
tindakan golongan tersebut sengaja menderma darah sebagai cara mendapatkan
khidmat saringan kesihatan percuma.
“Mereka sengaja menyorokkan maklumat kehidupan seks lalu
selamba menderma darah. Mereka hanya tertangkap apabila darah yang diderma
sekian lama akhirnya menunjukkan kehadiran virus HIV dan Hepatitis.
“Virus HIV boleh berada lama dalam darah secara senyap
(dormant) selama beberapa bulan sebelum ia dapat dikesan.
“Jadi pemeriksaan saringan darah HIV boleh menjadi negatif selama
beberapa bulan sebelum bertukar positif apabila virus berjaya dikesan,”
tulisnya.
Dia dengan tegas menyatakan golongan homoseksual dan
individu yang melakukan seks rambang adalah dilarang keras daripada menderma
darah.
Namun ada sebilangan yang tidak peduli dan sengaja
menyembunyikan maklumat tersebut supaya mereka dapat membuat pemeriksaan darah
percuma.
“Walaupun kebarangkalian kes ini berlaku adalah sangat
rendah, namun bayangkan impaknya kepada bayi dan orang tak bersalah yang
menerima transfusi darah tersebut. Tak pasal-pasal dapat HIV!
“Pada saya, kehidupan peribadi anda hak anda, suka hati
anda. Namun jika anda sengaja mencelakakan orang lain akibat nafsu dan pilihan
peribadi anda ini; anda memang tak guna!” tulisnya lagi.
Dia turut kesal apabila mendapati kebelakangan ini semakin
ramai pesakit yang ada latar belakang seks rambang, homoseksual termasuk yang
positif HIV merahsiakan maklumat mereka apabila mendapatkan rawatan di
hospital.
Menurutnya, staf hospital yang mengendalikan urusan rawatan
dan pembedahan pesakit ini berpotensi terdedah kepada jangkitan virus mereka.
“Kami bukan nak menghakimi kehidupan seks anda; apa yang
anda buat di sebalik pintu adalah urusan peribadi anda. Namun apabila kami
menguruskan cecair tubuh anda seperti darah dan sebagainya, adalah tak patut
bila anda sengaja menyorokkan maklumat dan membiarkan kami terdedah dengan
jangkitan virus.
“Pesakit yang mempunyai virus berbahaya yang berpotensi
berjangkit seperti hepatitis dan HIV perlulah memberitahu staf perubatan, jika
mereka mendapatkan rawatan.
“Ini kerana pekerja hospital perlu menggunakan peralatan dan
perlindungan khas sewaktu mengendalikan rawatan pesakit. Malah, sisa cecair
tubuh pesakit perlu dilupuskan secara khas, bukan seperti pesakit biasa,”
katanya.
Hana turut berkongsi kisah pesakit yang mengidapi penyakit
HIV dan melakukan seks rambang, namun tidak dimaklumkan kepada doktor.
“Ada seorang pesakit menjalani suatu pembedahan kepala;
namun setelah lukanya lambat pulih, doktor telah menyiasat dan mendapati dia
sebagai pesakit HIV dengan beban virus yang tinggi.
“Bila ditanya, barulah mengaku dia melakukan hubungan seks
rambang.
“Ada seorang lagi pesakit, datang dengan masalah bengkak di
kemaluan. Sangka kami masalah angin pasang. Apabila dibedah rupanya ada nanah
di dalamnya.
“Bila ditanya barulah mengaku dia pesakit HIV yang menjalani
rawatan. Sengaja tak mahu mengaku sebab takut tak dapat buat tuntutan insurans
(pun tipu syarikat insurans),” tulisnya.
Tegasnya, kesal dengan tindakan mereka yang mementingkan
diri sendiri ini kerana membiarkan staf dan pekerja hospital terdedah dengan
virus yang dibawa mereka.
Perkongsian Hana ini mendapat perhatian netizen dan dikongsi
lebih 2,000 setakat ini.
Disqus comments