Jumaat, 7 April 2017

Donald Trump Istihar Perang Tehadap Bashar al-Assad, Serang Pangkalan Udara Syria.

DAMSYIK – Amerika Syarikat (AS) melancarkan berpuluh-puluh peluru berpandu ke sebuah pangkalan tentera udara Syria berdekatan Homs pada malam Khamis, tindakan yang bakal mengeruhkan konflik berdarah di negara bergolak itu.

Serangan secara langsung ke atas tentera Syria itu merupakan yang pertama sejak AS menyertai peperangan di rantau Asia Barat tersebut, hanya beberapa jam selepas Presiden Donald Trump menyifatkan serangan gas sarin beberapa hari lalu oleh tentera rejim sebagai mengerikan dan jenayah melampau.

Dalam serangan pada Selasa, sekurang-kurangnya 72 orang awam terbunuh termasuk wanita dan kanak-kanak apabila tentera Syria menggugurkan bom sarin di pekan Khan Sheikhoun dekat wilayah Idlib yang dikuasai kumpulan penentang kerajaan Syria.

Lebih 100 lagi mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian tersebut.

Susulan serangan itu, lebih 50 peluru berpandu Tomahawk dilancarkan ke arah pangkalan al-Shayrat, serangan yang disifatkan sebagai ‘hukuman’ atas tindakan tentera Syria menggunakan senjata kimia.

Pegawai pertahanan AS yang enggan dikenali, mengesahkan serangan peluru berpandu itu dan tiada pesawat tempur atau pengebom terlibat dalam operasi berkenaan.

Peluru berpandu terbabit dilancarkan dari dua buah kapal pemusnah USS Porter (DDG-78) dan USS Ross (DDG-71) yang ditempatkan di Laut Mediterraean.

Kesan kemusnahan atau kemalangan jiwa akibat serangan AS itu masih belum dapat dipastikan.

Bagaimanapun tindakan AS itu dijangka membangkitkan kemarahan sekutu Syria, Rusia yang menyertai operasi mematahkan serangan kumpulan penentang dan militan Daesh.

Rusia mempunya lebih 30 helikopter tentera yang beroperasi di Syria dan menempatkan sejumlah aset termasuk helikopter penyerang Mi-28N serta Ka-53 Alligator di pangkalan udara al-Shayrat. – mstar
loading...