Rabu, 19 April 2017

Donald Trump Menghantar Lagi Angkatan Perang Ke Korea Utara

Washington: Amerika Syarikat (AS) dilapor mengerahkan dua lagi kapal pengangkut pesawat ke Semenanjung Korea, menurut laporan terbaru berkait dengan ketegangan antara negara itu dengan Korea Utara.

Presiden Donald Trump sebelum ini sudah mengerahkan satu armada tentera laut negara itu yang diketuai kapal pengangkut pesawat USS Carl Vinson ke rantau berkenaan.

Laporan dari Korea Selatan mendakwa, pemimpin AS itu mahu mengukuhkan armada berkenaan dengan mengerah USS Ronald Reagan dan USS Nimitz ke Laut Jepun minggu depan.

Ia dilakukan selepas Trump memberi amaran kepada Pyongyang bahawa ia perlu mengekang impiannya mengenai senjata nuklear dan memberitahu pemimpin negara itu, Kim Jong-un bahawa dia perlu ‘berkelakuan baik.’

Menurut agensi berita Yonhap, USS Ronald Reagan ketika ini berlabuh di Yokosuka, Jepun sementara USS Nimitz masih menjalani ‘penilaian terakhir’ di luar pantai Oregon, Amerika Syarikat.

Sama seperti USS Carl Vinson, kedua-dua kapal itu mampu membawa 90 pesawat.

Berita mengenai kemungkinan arahan terbaru itu timbul beberapa hari selepas Korea Utara mengadakan perarakan besar-besaran tentera sebagai sebahagian daripada sambutan ulang tahun ke-105 kelahiran pengasas negara itu, Kim Il-Sung.

Wujud kebimbangan Pyongyang sedang membuat persiapan untuk melakukan ujian nuklear keenam.

Sementara itu, Korea Utara mengancam melakukan ujian peluru berpandu setiap minggu.

Dalam wawancara dengan BBC kelmarin, Naib Menteri Luarnya, Han Song-Ryol berkata: “Kami akan melakukan ujian peluru berpandu setiap minggu, setiap bulan dan setiap tahun.”


Korea Utara yang berhasrat membangunkan peluru berpandu dengan peledak nuklear yang mampu menjejaki tanah besar AS tidak mengendahkan tekanan antarabangsa apabila ia melancarkan ujian misil yang gagal sebaik dilancarkan Ahad lalu.-harianmetro
loading...