Jumaat, 7 April 2017

Facebook Sekat ‘Pornografi Dendam’

SAN FRANCISCO – Facebook kelmarin melancarkan senjata baharu dalam perang menentang ‘pornografi dendam’ di rangkaian sosial utama itu selain perkhidmatan mesej, Messenger dan Instagram.

Apabila perkongsian imej intim tanpa kebenaran di laman Facebook dilaporkan, disahkan dan dipadamkan, syarikat laman sosial itu akan menggunakan teknologi padanan gambar untuk menghalang salinan gambar berkenaan daripada dikongsi di platformnya.

“Apabila kandungan seperti ini yang sering dirujuk sebagai pornografi dendam dilaporkan, kami akan menghalangnya daripada dikongsi di Facebook, Messenger dan Instagram.

“Ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan kami untuk membantu membina komuniti selamat dalam dan di luar Facebook,” kata Ketua Keselamatan Global Facebook, Antigone Davis di sebuah laman blog.

Dalam kebanyakan kes, Facebook akan menyekat akaun di mana imej intim dikongsi tanpa kebenaran, kata Davis lagi.

Pengguna yang cuba berkongsi gambar-gambar yang dipadamkan selepas dikategorikan sebagai pornografi dendam pula akan menerima mesej amaran bahawa gambar berkenaan melanggar polisi Facebook. – AFP/kosmo
loading...