Khamis, 13 April 2017

FAM Berdepan Dengan Dua Kes Serius

Persatuan Bola Sepak Malaysia FAM) bakal berdepan dengan krisis kewangan yang serius berdasarkan dua kes yang tertangguh.

Presiden FAM, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengakui beliau kecewa dengan barisan-barisan exco sebelum ini yang tidak bertanggungjawab.

"Pada masa ini FAM berhadapan dua kes iaitu satu kes dengan MP & Silva, di mana sekiranya kita kalah, FAM terpaksa membayar RM25 juta termasuk tambahan RM9 juta lagi jika kalah dengan satu lagi syarikat yang kita tandatangani untuk skuad pembangunan Harimau Muda ke Slovakia.

"Bagaimana FAM boleh tandatangani perjanjian yang lebih memihak kepada pihak lain?

"Sepatutnya keutamaan, kelebihan dan 'financial securities' serta apa sahaja kepentingan adalah kepada FAM tetapi sekarang ini apa yang berlaku adalah perjanjian-perjanjian yang lemah yang telah ditandatangani oleh FAM dan meletakkan badan induk ini di dalam keadaan yang susah," jelasnya dalam satu kenyataan di laman Facebook rasmi Johor Southern Tigers pada Khamis.

Jelas beliau, walaupun FAM akan terima kemasukan duit, tetapi tetap duit-duit tersebut akan keluar semula jikalau kalah dengan kes-kes berkenaan.

"Oleh itu saya telah berhubung dengan rakan saya dari Singapura dan menggunakan kenalan yang saya ada dalam kerajaan Johor dimana saya akan berjumpa sendiri dengan pemilik atau orang atasan MP & Silva.
"Insya-Allah saya akan cuba apa yang saya boleh untuk selesaikan perkara ini di luar mahkamah dan supaya kita boleh menjaga duit yang ada dalam FAM.

"Jika FAM tiada duit, tiadalah peruntukan untuk pasukan-pasukan yang bertanding di dalam liga Malaysia dan juga skuad kebangsaan.

"Oleh sebab itu saya katakan perkara ini adalah sangat serius," katanya.-mStar Online
loading...