Jumaat, 7 April 2017

FAM Tak Perlukan Gomez

PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengesahkan akan mencari jurulatih baharu bagi mengendalikan skuad kebangsaan selepas gagal mencapai kata sepakat dengan bekas pengendali pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Mario Gomez.

Menerusi satu kenya­taan dalam laman facebook rasmi FAM semalam, Tunku Ismail mendedahkan bahawa Gomez meminta gaji sebanyak AS$40,000 (kira-kira RM180,000) berban­ding apa yang ditawarkan kepadanya sebelum ini iaitu AS$25,000 (RM110,877) sebulan.

“Saya dimaklumkan bahawa Mario Gomez menafikan bahawa beliau meminta gaji yang tinggi. Kami tawarkan AS$25,000 (RM110,877) tetapi beliau me­minta lebih.

“Adakah itu tidak bermakna bahawa beliau meminta lebih daripada apa yang kami tawarkan? Tidak mengapalah. Kami akan cari individu lain yang betul-betul mahu menjadi jurulatih Malaysia,” titah Tunku Ismail dalam kenyataan tersebut semalam.

Kosmo! semalam melaporkan bahawa pe­ngendali dari Argentina itu bersetuju untuk menandatangani kontrak selama dua tahun apabila Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) menawarkan beliau gaji dengan tambahan lapan peratus berbanding imbuhan yang diperolehnya ketika mengendalikan JDT sebelum ini.

Gomez ketika dihubungi kelmarin menjelaskan bahawa beliau tidak pernah menuntut gaji lebih tinggi, malah bersedia untuk menjadi jurulatih skuad Harimau Malaya sebaik pengumuman tersebut dibuat oleh Tunku Ismail selepas dipilih menjadi Presiden baharu FAM pada 25 mac lalu.

Bagaimanapun, kedua-dua pi­­hak gagal mencapai kata putus dan lebih memburukkan kea­daan, Gomez enggan menjadikan Tan Cheng Hoe sebagai pembantunya andai beliau dilantik menjadi pengendali skuad Harimau Malaya nanti.

“Saya sudah menetapkan satu polisi yang mana setiap jurulatih luar negara perlu dibantu oleh jurulatih anak tempatan. Bukankah Tan Cheng Hoe sekarang adalah jurulatih tempatan yang terbaik ketika ini.

“Namun, apabila nama Cheng Hoe disenaraikan, sebahagian besar penyokong bising dengan menyatakan supaya tidak memilih dia (Cheng Hoe) atau lebih baik memilih jurulatih lain. Saya tidak tahu apa yang mereka (penyokong) inginkan sebenarnya,” titah baginda lagi.

Difahamkan, sebelum ini Cheng Hoe telah menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) ming­gu lepas tetapi permohonannya ditolak oleh Presiden KFA, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah.

Dalam perkembangan sama, Tunku Ismail turut bertitah agar para penyokong mengubah mentaliti supaya tidak lagi merungut dan menerima perubahan yang cuba dilakukan dalam misi memulih­kan kembali martabat bola sepak negara.

“Tahap ketelusan dan maklumat yang telah saya kongsikan (kepada penyokong) dalam masa 11 hari saya menjadi Presiden FAM adalah lebih banyak daripada apa yang anda dapat sejak 30 tahun lalu tetapi anda semua masih lagi nak merungut.

“Kejayaan bukanlah mustahil kerana sekarang perubahan telah dilakukan dan kita sudah tahu apa punca sebenar.

“Kini kita tahu bagaimana hendak mengubah struktur, namun pada masa sama semua pihak juga perlulah bersikap pro­­fesional,” titah baginda lagi.-kosmo
loading...