Sabtu, 1 April 2017

Guru Wanita Nyaris Maut Kereta Terjunam Dalam Lubang Pembetungan.

Kuala Lumpur – Seorang guru wanita nyaris maut apabila dia gagal mengawal kereta dipandunya sebelum merempuh penghadang simen dan terjunam ke dalam lubang pembetungan sedalam 16 meter di Kajang Perdana, Kajang semalam.

Mangsa, R. Thamaenti, 25, bagaimanapun diselamatkan orang ramai yang berada di tempat kejadian yang berlaku kira-kira pukul 5.45 petang itu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Osman Nayan berkata, mangsa yang memandu Toyota Vios itu sedang dalam perjalanan pulang ke Taman Seri Jelok dari tempat kerjanya di Alam Damai.

“Ketika  kejadian, cuaca berada dalam keadaan baik namun jalan raya yang dilalui mangsa sedikit curam selain terdapat kerja-kerja pembaikan sistem pembetungan di situ.

“Sebaik sahaja mangsa terjunam ke dalam lubang tersebut, beberapa pengguna jalan raya yang lain bertindak mengeluarkannya daripada kenderaan berkenaan dan dia tidak mengalami sebarang kecederaan yang serius,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tambah Osman, wanita terbabit kemudian mendapatkan rawatan di sebuah hospital di Kajang dan keretanya dikeluarkan dari lubang pembetungan kira-kira pukul 7 malam dengan menggunakan kren. – Utusan




loading...